Selasa, 10 Disember 2019 | 11:17am
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kerajaan pertimbang semula liberalisasi dasar kabotaj

LONDON: Kerajaan akan mempertimbangkan semula isu liberalisasi dasar kabotaj di Sabah, Sarawak dan Labuan berikutan pemerhatian yang menyeluruh oleh Kementerian Pengangkutan, kata menterinya Anthony Loke Siew Fook.

Dasar kabotaj di Malaysia, yang bermula pada 1980, dimansuhkan pentadbiran terdahulu pada 1 Jun 2017, berikutan kebanyakan penggiat industri berpendapat dasar itu perlu dipersalahkan kerana harga barangan yang lebih tinggi di Malaysia Timur disebabkan kos penghantaran.

Walaupun Loke tidak menyatakan tarikh akhir, katanya kementerian sentiasa mengkaji isu itu dan percaya kos pengangkutan yang tinggi bukan satu-satunya faktor yang menaikkan harga barangan di Malaysia Timur.

"Malah, kami turut memahami Sarawak mahu dasar kabotaj dikembalikan semula berikutan ia perlu melindungi industri pembinaan kapalnya dan penggiat tempatan," katanya kepada BERNAMA di luar sesi ke-31 perhimpunan Pertubuhan Maritim Antarabangsa di London baru-baru ini.

Pengecualian itu, diperkenalkan untuk mengurangkan kos barangan yang tinggi, membolehkan kapal asing bergerak bebas dalam mengangkut kargo dalam negara antara pelabuhan di Semenanjung dan Malaysia Timur dengan had pemindahan domestik antara pelabuhan di Malaysia Timur.

Sebelum itu, kapal asing perlu didaftar di Malaysia untuk memuat dan memunggah kargo di mana-mana pelabuhan di Malaysia.

Sarawak menukar pendiriannya baru-baru ini berikutan dasar itu dilihat sebagai mewujudkan persaingan sengit antara kapal asing dan kapal domestik.

Laporan berasaskan analisis yang dijalankan antara Januari dan Julai 2019 menunjukkan kapal asing menyumbang sebanyak 12.4 peratus, atau 2,504 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), daripada pengangkutan kargo kontena laut tempatan daripada jumlah 20,279 TEU dari Pelabuhan Kuching ke Pelabuhan Klang.

Dari segi pecahan, sebanyak 8.1 peratus daripada jumlah itu ke Pelabuhan Klang, 1.5 peratus daripada TEU adalah pemindahan ke pelabuhan Malaysia tempatan dan 2.8 peratus, pemindahan ke pelabuhan asing.

Isu dasar kabotaj dibincangkan secara meluas dalam industri tempatan, dengan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) menyifatkan langkah untuk meliberalisasikannya sebagai memberi impak negatif kepada industri perkapalan tempatan dan syarikat perkapalan tempatan, berikutan kapal asing, iaitu dari Singapura, China, Thailand dan Indonesia, telah mula memenuhi perairan Malaysia.

Bagaimanapun, Sabah mahu pengecualian itu kekal berikutan dasar kabotaj membebankan rakyatnya dan menjejaskan pertumbuhan industri negeri itu.

Persekutuan Industri Sabah dipetik sebagai berkata bahawa kemasukan syarikat perkapalan antarabangsa seperti Maersk Line, syarikat perkapalan terbesar di dunia, selepas pengecualian kabotaj, memberi manfaat kepada perniagaan di Sabah berikutan caj untuk menghantar kontena dari Semenanjung Malaysia ke Sabah telah dikurangkan.

Pada tahun lalu, Loke memberi jaminan kepada kerajaan negeri Sabah bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan mengembalikan dasar kabotaj.

Beliau berkata kerajaan sentiasa mengkaji impak daripada penggantungan dasar kabotaj tetapi tidak mempertimbangkan semula untuk pelaksanaan semulanya. - BERNAMA

Berita Harian X