Rabu, 4 Disember 2019 | 1:27pm
PAKAR pembangunan komuniti dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Professor Madya Dr Doris Padmini Selvaratnam.
PAKAR pembangunan komuniti dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Professor Madya Dr Doris Padmini Selvaratnam.

Kemahiran diri terhad punca peningkatan miskin bandar

PUTRAJAYA: Peningkatan migrasi penduduk luar bandar ke bandar, selain kemahiran pembangunan diri yang terhad dikenalpasti antara punca peningkatan populasi miskin bandar di negara ini.

Pakar pembangunan komuniti dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Professor Madya Dr Doris Padmini Selvaratnam, berkata kemiskinan bandar menjadi isu nasional yang terus menjadi polemik dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Dengan ini, kita perlu menawarkan pelbagai aktiviti yang menjana pendapatan yang sepadan dengan kemahiran golongan miskin bandar.

“Aktiviti-aktiviti ini termasuk pelajaran menjadi Netpreneur untuk membuat sabun dan lilin, serta menanam kebun sayuran... Apa yang penting adalah mewujudkan usahawan yang mampu berdikari,” katanya pada sidang media pra-pelancaran seminar anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan mengenai penyelesaian masalah kemiskinan bandar yang menyeluruh dan holistik.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Keusahawanan Holistik Sosial untuk Membasmi Kemiskinan Bandar’ berkata menyediakan asas punca pencarian adalah penting. 

“Pendekatan yang kami ambil adalah disokong dengan pemetaan aset, membantu golongan miskin bandar mengenalpasti produk dan perkhidmatan yang boleh dikomersialkan, celik kewangan dan mengajar mereka asas keusahawanan. 

“Sehubungan itu, kami telah memperkenalkan modul pengurusan kewangan, memajukan perniagaan mereka dan mempromosikan produk secara atas talian,” katanya.

Seminar sehari itu menghimpunkan tokoh kerajaan, ahli akademi, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan membentangkan kertas cadangan masing-masing.

Penceramah yang terbabit adalah termasuk pembuat dasar, pentadbir kanan dan bekas cendekiawan kerajaan seperti Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dan Tan Sri Dr Kamal Salih, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan bekas Pengerusi Media Prima Bhd, Tan Sri Johan Jaaffar. 

Selain itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Albakri juga akan berkongsi perspektif beliau mengenai kemiskinan bandar. 

Dalam pada itu, perunding NGO, Simpson Khoo yang mempunyai pengalaman hampir 10 tahun membantu golongan miskin bandar berkata, pendidikan dan kesejahteraan mental golongan miskin bandar dapat membantu mereka keluar daripada kitaran kemiskinan.

“Golongan berpendapatan rendah, terutama yang tinggal dalam komuniti perumahan awam kos rendah, memerlukan akses lebih baik terhadap penjagaan kesihatan mental, kesedaran penjagaan diri dan pengetahuan daya tindak terhadap kelaziman kemurungan dan kerisauan yang tinggi,” katanya.

Berita Harian X