Khamis, 21 November 2019 | 3:17pm
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Produktiviti buruh meningkat 2.6 peratus

KUALA LUMPUR: Produktiviti buruh Malaysia meningkat 2.6 peratus pada suku ketiga (Q3) 2019 berbanding 2.4 peratus pada suku sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pada suku itu jumlah jam bekerja meningkat 1.7 peratus berbanding 2.4 peratus pada Q2 2019.

“Pada suku itu, sektor perkhidmatan dan pembuatan merekodkan pertumbuhan tertinggi bagi produktiviti buruh mengikut jam bekerja pada 2.9 peratus. Ini diikuti sektor pertanian (1.8 peratus) dan pembinaan (1.6 peratus).

“Bagaimanapun, produk buruh sektor perlombongan dan pengkuarian merosot 3.4 peratus selepas mencatat negatif 0.7 peratus pada suku sebelumnya,” kata Mohd Uzir dalam kenyataan hari ini.

Produktiviti buruh diukur dari segi nilai ditambah per jam bekeja dam nilai ditambah per pekerja mengikut jenis aktiviti ekonomi.

Ia diukur sebagai nisbah nilai ditambah kepada jam bekerja.

“Produktiviti buruh adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi . Ia menunjukkan keupayaan negara dalam menghasilkan barangan dan perkhidmatan bagi setiap jam kerja seorang pekerja.

Sementara itu, produktiviti buruh yang diukur sebagai nisbah nilai ditambah kepada pekerja, tumbuh 2.3 peratus (Q2 2019: 2.8 peratus) manakala pertumbuhan pekerja kekal pada 2.1 peratus (Q2 2019: 2.1 peratus).

-- BERNAMA

Berita Harian X