Selasa, 19 November 2019 | 6:08pm
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (kiri) bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Ramli (kanan) pada Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan Tahun 2019 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (kiri) bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Ramli (kanan) pada Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan Tahun 2019 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

MPKK bersidang buat kali pertama

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) bersidang buat kali pertama selepas Suruhanjaya Koperasi Malaysia dipindahkan di bawah penyeliaan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) pada Julai lalu.

Ia dipengerusikan Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.Beliau berkata, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang diperkenalkan pihaknya telah meletakkan gerakan koperasi sebagai pemangkin untuk meningkatkan budaya keusahawanan di negara ini.

Katanya, ia akan dilaksanakan menerusi teras strategik yang telah ditetapkan.

“Konsep dan prinsip asas penubuhan koperasi sememangnya mengutamakan kesejahteraan secara bersama.

“Penilaian terhadap sumbangan koperasi bukanlah semata-mata mengikut sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) saja tetapi juga perlu dilihat daripada aspek pembangunan sosioekonomi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sehingga 31 Disember 2018, gerakan koperasi di negara ini telah mencapai prestasi yang memberangsangkan.

Sebanyak 14,247 koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 6.1 juga orang, modal syer berjumlah RM14.9 bilion, aset bernilai RM142.8 bilion dengan penjanaan perolehan sebanyak RM40.3 bilion.

Penubuhan MPKK adalah selaras dengan perenggan 86(2)(m) Akta Koperasi 1993 dan Peraturan-peraturan Koperasi (Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan) 2010.

Ia bertujuan mewujudkan satu forum bagi menentukan hala tuju pembangunan pergerakan koperasi, menyelaras dan meningkatkan kerjasama dalam membangunkan pergerakan koperasi.

Berita Harian X