Selasa, 19 November 2019 | 3:41pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berucap pada Majlis Persidangan Keusahawanan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Usahawan Belia dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Menghadapi Perubahan Teknologi Digital 2019 di Pusat Konvensyen Sime Darby. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berucap pada Majlis Persidangan Keusahawanan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Usahawan Belia dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Menghadapi Perubahan Teknologi Digital 2019 di Pusat Konvensyen Sime Darby. - Foto BERNAMA

Kerajaan laksana 164 program PKS RM13.7 bilion

KUALA LUMPUR: Sejumlah 164 program pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membabitkan komitmen kewangan RM13.7 bilion dilaksanakan kerajaan tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata ia termasuk 28 program yang memberi tumpuan kepada inovasi dan penerapan teknologi dengan kewangan sebanyak RM148 juta.

Katanya, pelaksanaan program berkenaan adalah untuk memastikan PKS di Malaysia bersedia menghadapi perubahan teknologi, seterusnya mampu berdaya saing dengan syarikat lebih besar.

“Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menggalakkan penyertaan PKS dalam industri berteknologi tinggi yang mana memberi sumbangan yang lebih kepada ekonomi. Kami akan tumpukan kepada bidang yang berimpak tinggi untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada ekonomi negara.

“Untuk itu juga, SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan menumpukan kepada aktiviti seumpama ini tahun depan termasuk e-dagang,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Keusahawanan Persatuan Pengilang Malaysia (FMM) 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dan Pengerusi SME Corp, Datuk Sri Syed Hussien Al Habshee.

Mohd Hatta berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan untuk pelbagai inisiatif bagi menyokong Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan pendigitalan membabitkan nilai RM70 juta menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Katanya, ia merangkumi pembukaan 14 pusat sehenti peningkatan digital bagi memudahkan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti perniagaan terutama PKS.

“Kami juga menyediakan RM550 juta geran padanan automasi pintar kepada 1,000 syarikat pengilangan dan 1,000 syarikat perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, MED juga akan meningkatkan penyertaan PKS dalam bidang berdaya maju termasuk aeroangkasa, rel, bioteknologi dan farmaseutikal bagi memacu pencapaian sumbangan 50 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) seperti termaktub dalam Dasar Keusahawan Negara 2030 (DKN 2030).

“Kami juga mahu meningkatkan sumbangan eksport PKS sehingga 30 peratus menjelang 2030 daripada 17.3 peratus ketika ini. Untuk mencapai sasaran ini kerajaan meninjau akses pasaran dengan melihat beberapa pasaran termasuk Jepun, Indonesia dan negara Balkan untuk melihat potensi pasaran baharu,” katanya.

Berita Harian X