Jumaat, 8 November 2019 | 9:44pm
Ketua Pegawai Eksekutif J&T Express Malaysia, Roy Zeng.

J&T Express jangka lonjakan 10 kali ganda dalam jualan 11.11

KUALA LUMPUR: Pemula niaga logistik, J&T Express menganggarkan lonjakan 10 kali ganda dalam jumlah dagangan membabitkan jualan 11.11 yang akan datang berbanding rekod yang dicapai pada jualan tahun sebelum ini.

Jangkaan ini dibuat berdasarkan jumlah penghantaran yang dimuktamadkan dalam Festival Jenama 10.10 Shopee 2019, yang merekodkan peningkatan kukuh sebanyak 11 kali ganda berbanding dengan 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif J&T Express Malaysia, Roy Zeng, berkata J&T Express juga dijangka akan mengendalikan tambahan sehingga 25 peratus bungkusan dalam sehari semasa jualan 11.11 daripada 2018.

"Dalam usaha untuk menangani peningkatan mendadak dalam tempahan, J&T Express telah membangunkan satu pelan induk yang diilhamkan daripada pengalaman sebelum ini serta melalui rundingan dan input daripada pihak berkepentingan seperti Shopee," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata komponen utama dalam pelan induk itu termasuk jangkaan tempahan, dan ini membantu J&T Express mengembang dan memperuntukkan sumber yang bersesuaian seperti tenaga kerja, infrastruktur, iklan, penyumberan kapasiti kargo udara serta lain-lain lagi.

Katanya, ini akan menyaksikan kakitangan termasuk yang berada di hab transit bekerja sepanjang masa mengikut jadual serta pergerakan keluar masuk beratus-ratus trak 24 jam sehari dan penghantar tambahan yang bekerja walaupun pada hujung minggu.

"Ini membolehkan J&T Express merancang ke hadapan serta mencapai penghantaran yang lebih cekap dan cepat untuk jualan 11.11 yang akan datang.

"J&T Express yakin bahawa ia akan dapat menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan premium, merentasi sempadan dan mengenepikan sebarang halangan dalam industri," tambahnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata pasaran e-dagang tidak boleh wujud tanpa infrastruktur dan komitmen yang kukuh daripada industri sokongan e-dagang seperti pemain logistik pihak ketiga macam J&T Express.

"Kami bekerjasama rapat dengan semua pemegang kepentingan kami dan ini mendorong keseluruhan industri e-dagang untuk bergerak ke hadapan secara serentak, walaupun ketika, Shopee dan rakan kongsinya seperti J&T Express bekerja untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pembeli dan penjual kami," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X