Khamis, 7 November 2019 | 5:28pm
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan KMZ, Nafidz Razak ketika majlis penghargaan pertama KMZ di Bangi baru-baru ini.

KMZ sasar pembukaan lebih 50 cawangan baru pada 2020

KUALA LUMPUR: Kumpulan Megaklinik Zahran (KMZ), pengendali perkhidmatan penjagaan kesihatan menyasarkan pembukaan lebih 50 buah klinik mega di seluruh negara tahun hadapan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan KMZ, Nafidz Razak, berkata sasaran itu berdasarkan peluang kerjasama perlesenan dengan usahawan yang ingin terbabit dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, KMZ juga disenaraikan di dalam program Usahawan Licensing Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dengan peruntukan dana awal sebanyak RM10 juta.

“Dana awal PUNB ini dibuka kepada usahawan atau doktor yang berminat membuka jenama Megaklinik Zahran. Ini adalah bukti KMZ perniagaan yang mampan dan mampu meningkatkan ekosistem perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Program perlesenan jenama kami yang bermula pada awal tahun lalu bakal berkembang dengan pembukaan klinik baharu di Melaka pada hujung tahun ini diikuti cawangan Putrajaya, Cyberjaya dan di Johor Bharu, Johor.

“Kami juga menaruh kepercayaan bagi mendepani arus globalisasi termasuk memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan menyeluruh, kerjasama dua hala sebegini adalah perlu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Nafidz berkata, program dan hala tuju baharu KMZ itu bagi memastikan nilai penjagaan kesihatan pada peringkat terbaik.

Sementara itu, sebanyak 32 panel korporat menerima anugerah penghargaan berdasarkan kriteria dan pencapaian cemerlang masing-masing pada 2018 dan 2019.

Berita Harian X