Selasa, 5 November 2019 | 3:53pm
Pengurus Besar Kanan Operasi, Kumpulan The Store, Winky Pek (empat dari kiri) bersama Duta Kumpulan The Store iaitu Adibah Noor (tiga dari kiri) dan Timbalan Pengerusi Yayasan MyKasih, Jeffrey Perera (lima dari kiri) membuat cabutan pada Majlis Cabutan Bertuah Kumpulan The Store. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Pengurus Besar Kanan Operasi, Kumpulan The Store, Winky Pek (empat dari kiri) bersama Duta Kumpulan The Store iaitu Adibah Noor (tiga dari kiri) dan Timbalan Pengerusi Yayasan MyKasih, Jeffrey Perera (lima dari kiri) membuat cabutan pada Majlis Cabutan Bertuah Kumpulan The Store. - NSTP/Eizairi Shamsudin

The Store peruntukkan RM500,000 hadiah untuk pelanggan

SUNGAI BULOH: Menghargai kesetiaan dan sokongan pelanggan, Kumpulan The Store yang meraikan ulang tahun ke-51, memperuntukkan sebanyak RM500,000 hadiah, menerusi peraduan ‘Anniversary Gift-Away’ dengan tawaran utamanya ialah sebuah kereta Perodua Aruz dan dua, Proton Iriz

Pengurus Besar Kanan Operasi, Kumpulan The Store, Winky Pek, berkata peraduan itu mendapat sambutan memberangsangkan apabila lebih 300,00 borang penyertaan diterima sepanjang ia berlangsung, Mei hingga Ogos lalu.

Katanya, kesetiaan dan sokongan diberikan pelanggan The Store selama ini, dilihat sebagai lambang kekuatan untuk pasar raya berkenaan terus bertahan sehingga kini.

“Kita tidak hanya mementingkan dari sudut keuntungan saja, tetapi hubungan dengan pelanggan juga menjadi keutamaan, justeru pelbagai aktiviti diadakan demi memastikan kita sentiasa dekat di hati mereka.

“Selain itu kita juga melakukan aktiviti kebajikan iaitu Program Bantuan Makanan Yayasan MyKasih yang berjaya mengumpul sehingga RM85,000 sepanjang tempoh enam bulan untuk diserahkan kepada mereka memerlukan.

“Sumbangan turut diperoleh daripada orang ramai. Ini bermaksud, pelanggan bukan saja berbelanja, tetapi turut berpeluang memenangi hadiah bernilai dan menyumbang kepada yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada majlis cabutan bertuah peraduan ulang tahun The Store ke-51, dekat sini.

Pada majlis itu, tiga pemenang utama kereta diumumkan selepas cabutan dilakukan oleh Duta Kumpulan The Store iaitu Adibah Noor. Pemenang utama Perodua Aruz dimenangi oleh Ng Thien Sang, 67, dari Perak manakala Mohammad Nazri Osman, 49, dari Kedah dan Hartini Mat Hasin, 40, dari Perak, masing-masing menerima Proton Iriz.

Selain itu, sebanyak 20 pelanggan akan menerima baucar hadiah bernilai RM500 setiap seorang.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Kumpulan The Store (Bahagian Sofline, Hardline dan Brand Dev), Lim Kok Soon, Pengurus Besar Kumpulan The Store (Bahagian Pasar raya), Mark Loo Soon Hock dan Timbalan Pengerusi Yayasan MyKasih, Jeffrey Perera.

Sementara itu, Kumpulan The Store turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bayi comel menerusi Peraduan Fotogenik ‘Cute Baby 2019’ iaitu pemenang pertama Tan Yong Ming, membawa pulang baucar hadiah bernilai RM8,000, pemenang kedua Nur Azra Raissa Azirulaswat menerima baucar RM5,000 dan Ella Chan Yu Qian menerima baucar bernilai RM3,000 berserta hamper dan piala masing-masing.

Kumpulan The Store turut memperkenalkan program penebusan Pisau Tahan Karat Gorme eksklusif untuk pelanggan The Store dan Pacific yang berlangsung dari 1 November hingga 31 Januari 2020.

Berita Harian X