Khamis, 31 Oktober 2019 | 5:09pm

India dijangka terus beli minyak sawit Malaysia

KUALA LUMPUR: India yang bergantung kepada 70 peratus import minyak makan, dijangka meneruskan pembelian minyak sawit bertapis Malaysia walaupun kerajaannya merancang untuk menaikkan cukai import, kata seorang penganalisis.

Cadangan kenaikan cukai itu dibuat atas alasan untuk meningkatkan usaha pemprosesan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pembelian dari negara asing.

“Cukai sedia ada sudah terlalu tinggi. Namun, jika itu dilaksanakan, India masih perlu meneruskan pembelian (minyak sawit) dari Malaysia dan Indonesia,” kata Dr Sathia Varqa, pemilik dan pengasas bersama Palm Oil Analytics yang berpejabat di Singapura, kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan harga minyak sawit mentah (MSM) Indonesia yang lebih rendah iaitu didagangkan pada diskaun AS$20-AS$30 berbanding MSM negara ini, India sebaliknya akan membeli lebih banyak dari Indonesia berbanding Malaysia.

Sathia turut menjangkakan India akan membeli sebanyak 10.20 juta tan minyak sawit pada 2020 iaitu meningkat daripada anggaran sebanyak 9.50 juta tan pada tahun ini.

“Unjuran itu tidak berubah. India secara amnya membeli 75 peratus minyak itu dari Indonesia dan selebihnya dari Malaysia," katanya.

Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan India sedang dalam proses membincangkan cadangan untuk mengenakan levi baharu sebagai tambahan kepada duti import sedia ada selain menaikkan cukai barangan dan perkhidmatan ke atas minyak tropika yang telah diproses.

Bulan lalu, India bertindak menaikkan duti import ke atas minyak sawit bertapis Malaysia kepada 50 peratus daripada 45 peratus bagi mengurangkan import dan menggalakkan usaha penapisan di peringkat tempatan.

India adalah pengimport minyak sawit terbesar dunia dan tahun lalu mengimport sebanyak sembilan juta tan minyak sawit bernilai RM23.02 bilion termasuk 2.51 juta tan yang diimport dari Malaysia.

Malah, India turut menyumbang 15 peratus daripada eksport minyak sawit Malaysia.

Sekiranya kenaikan cukai itu dilaksanakan, ini mungkin menyebabkan harga minyak sawit Malaysia mengalami penurunan kecil dan kerajaan perlu mencari pasaran baharu atau bertindak mengembangkan pasaran semasanya.

-BERNAMA

Berita Harian X