Rabu, 30 Oktober 2019 | 7:50pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Aizuddin Saad
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Aizuddin Saad

Tiada jangka masa ambil alih lebuh raya daripada Gamuda

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menetapkan sebarang jangka masa untuk mengambil alih empat lebuh raya daripada Gamuda Bhd, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata pengumuman mengenai perkara tersebut hanya akan dibuat apabila semua matlamat pengambilalihan itu dicapai.

Beliau berkata, syarat pertama ialah ia tidak akan mengenakan negara apa-apa beban hutang tambahan dan bayaran khidmat hutang.

“Kedua ialah penjimatan untuk kerajaan dengan tidak perlu membayar pampasan dan ketiga, penjimatan kepada rakyat melalui kadar tol yang dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari Anugerah Persatuan Hubungan Pelabur Malaysia (MIRA) 2018/2019 di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020, Guan Eng berkata, Kabinet telah meluluskan cadangan pengambilalihan empat lebuh raya di Lembah Klang – Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (Sprint) dan Terowong SMART (Smart).

Kerajaan akan membayar RM6.2 bilion untuk mengambil alih empat lebuh raya itu.

Beliau berkata keperluan adalah sama untuk pengambilalihan lebuh raya PLUS – bahawa matlamat perlu direalisasikan terlebih dahulu.

-BERNAMA

Berita Harian X