Rabu, 30 Oktober 2019 | 3:12pm
PENGERUSI Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berucap pada Sidang Kemuncak Korporat PNB 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Eizairi shamsudin

Menara 118 sudah 42 peratus disiapkan

KUALA LUMPUR: Menara ikonik Permodalan Nasional Bhd (PNB), Merdeka 118 kini siap 42 peratus pada ketinggian 84 tingkat.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, berkata pembinaan menara yang bermula pada 2016 itu bakal menyaksikan penyatuan luar biasa antara seni bina bersejarah dan kontemporari yang terletak di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Menara 118 tingkat ini berdiri megah bersama dua warisan negara - Stadium Negara dan Stadium Merdeka, yang mana kemerdekaan Malaysia diisytiharkan pada 1957.

“Apabila ia siap dibina menjelang 2021, menara dengan ketinggian 635 meter ini akan menjadi mercu tanda baharu bagi Kuala Lumpur,” katanya pada sesi makan tengahari sempena Sidang Kemuncak Korporat PNB 2019 di sini, hari ini.

Zeti berkata, menara itu juga menyasarkan penarafan tiga akreditasi platinum dengan Leadership in Energy and Environmental Design (LEED), GreenRE dan Green Building Index (GBI) yang akan menjadikan Merdeka 118 bangunan pertama di negara ini mendapat penarafan sedemikian.

Bertemakan ‘Rebooting Corporate Malaysia’, persidangan anjuran PNB Research Institute itu bertujuan mempelopori usaha transformasi bagi sektor korporat Malaysia dengan dihadiri lebih 500 peserta pelbagai sektor.

Berita Harian X