Isnin, 28 Oktober 2019 | 6:25pm

Vertiv sedia kongsi kepakaran 5G dengan peserta tempatan

KUALA LUMPUR: Vertiv, gergasi penyedia perkhidmatan dan peralatan pusat data global sedang perbincangan dengan peserta industri telekomunikasi tempatan untuk berkongsi kepakaran dalam pembinaan teknologi 5G dan pusat data.

Naib Presiden Pemasaran, Produk dan Penyelesaian Asia Vertiv, Chee Hoe Ling, berkata syarikat itu sedang berbincang untuk meneroka rekaan yang berbeza dan cara terbaik untuk melaksanakannya serta saiz yang terbaik untuk pasaran di Malaysia.

“Apa yang penting adalah penjimatan tenaga,” katanya kepada BH pada sesi taklimat eksklusif di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau yakin teknologi 5G di Malaysia mampu berkembang seiring negara peneraju lain di dunia.

Katanya, Malaysia sedang membangunkan teknologi rangkaian 5G dengan lancar dan akan menjadi antara negara pertama mempunyai rangkaian infrastruktur 5G di rantau ini.

“Kita sedang menuju ke arah itu (5G). Jika anda lihat di rantau ini, negara pertama yang mendahului teknologi 5G adalah Korea dan Malaysia sedang bekerja rapat dengan negara itu untuk memahami pasaran.

“Korea juga sedang melaksanakan pembangunan teknologi 5G dan ia menjangkakan teknologi ini akan meliputi semua bandar utama pada 2021. Ia tidak jauh dengan sasaran Malaysia untuk melaksanakan 5G pada 2021 hingga 2022,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaan Malaysia dari segi infrastruktur dan permintaan terhadap 5G, Hoe Ling berkata, teknologi 5G mempunyai peluang yang besar untuk dimanfaatkan oleh syarikat telekomunikasi di negara ini kerana ia akan meningkatkan pembangunan ekonomi dan produktiviti negara dengan memberikan persekitaran yang lebih pantas.

Katanya, komitmen beberapa syarikat telekomunikasi antaranya Digi dan Celcom Axiata untuk membangunkan infrastruktur 5G dijangka memberi lebih banyak peluang kepada syarikat pusat data seperti Vertiv untuk menyediakan penyelesaian produk.

“Kami gembira melihat teknologi ini berkembang dan melihat banyak peserta mahu membina infrastruktur (5G). Apabila mereka mula membina, ini bermakna perniagaan dalam industri pusat data akan berkembang seiring,” katanya.

Setakat ini, lapan syarikat komited untuk pelaburan awal sebanyak RM116 juta untuk projek demonstrasi 5G dari Oktober 2019 hingga Mac 2020.

Syarikat itu ialah Altel Communications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, Digi.Com Bhd, edotco Group Sdn Bhd, Maxis Bhd, PETRONAS, Telekom Malaysia Bhd dan UMobile Sdn Bhd.

Berita Harian X