Jumaat, 25 Oktober 2019 | 2:37pm

Baht cecah paras tertinggi dalam enam tahun

BANGKOK: Ahli perbankan pusat Thailand mendapati adalah sukar untuk menghentikan baht daripada melonjak.

Mata wang Thailand itu meningkat sehingga 0.2 peratus hari ini kepada 30.228 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS), paras paling kukuh sejak Mei 2013.

Ini menjadikan baht meningkat sehingga 7.6 peratus tahun ini, lebih tinggi berbanding mata wang pasaran sedang pesat membangun lain kecuali ruble Russia.

Kenaikan itu bertentangan dengan usaha pihak berkuasa Thailand, yang bimbang kekuatan baht akan menjejaskan ekonominya yang bernilai AS$505 bilion.

Menteri Kewangannya, Uttama Savanayana pada 9 Oktober lalu berkata bank pusat sewajarnya ‘menjaga’ mata wang berkenaan.

Mengapakah baht begitu kukuh?

Beberapa faktor menarik pelabur ke Thailand, menjadikan syurga bagi wang asing.

Namun, akaun semasanya yang kukuh mengatasi segala-galanya, menurut penganalisis Goldman Sachs Group Inc.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan negara itu akan mencatatkan lebihan enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, hampir dua kali ganda Jepun.

Rizab Thailand dan inflasi yang rendah juga memberikan keselesaan kepada pelabur.

Jumlah tunai asing bank pusat Thailand mencecah AS$220 bilion, bersamaan lebih daripada 12 bulan import.

Inflasi pula, ketika ini 0.3 peratus, berada di bawah sasaran bank pusat antara satu hingga empat peratus sejak Jun lalu.

Tidak cukup dengan itu, Thailand mendapat rangsangan daripada emas.

Sebagai hab perdagangan bullion, Thailand mendapat manfaat daripada perang perdagangan dan kelembapan ekonomi global yang membolehkan logam berharga itu meningkat 17 peratus tahun ini.

Mengapakan pengukuhan baht menjadi satu kebimbangan?

Apabila mata wang mengukuh, pengeksport akan terjejas.

Industri pelancongan negara itu, yang merangkumi satu perlima daripada KDNK, turut terkesan.

Majlis Pelancongan Thailand bulan lalu menyemak turun anggaran jumlah pelancong tahun ini kepada kurang 40 juta orang, memetik kekuatan baht sebagai punca utamanya.

-Bloomberg

Berita Harian X