Khamis, 24 Oktober 2019 | 9:37pm

Khazanah mahu tingkat gandakan pelaburan luar negara untuk kurangkan risiko

KUALA LUMPUR: Dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Bhd mahu meningkatkan pelaburan asing empat kali ganda sebanyak 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan portfolionya dalam dekad akan datang dan mengurangkan risiko pendedahan kepada negara, menurut laporan Parlimen.

  

Pelaburan luar negara Khazanah - termasuk kepentingan dalam Alibaba Group China - menyumbang hanya kira-kira 15 peratus daripada jumlah pegangannya berbanding 44 peratus lima tahun lalu, dengan penurunan sebahagiannya berikutan sekatan oleh bank pusat terhadap aliran keluar asing untuk melindungi ringgit.

  

Selepas mencatat kerugian pertama dalam satu dekad, nilai aset realistik portfolio Khazanah turun 13 peratus kepada RM136 bilion (AS$32.51 bilion) tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, memberitahu pemberita awal bulan ini bahawa Khazanah menyasarkan keuntungan sebelum ini sekurang-kurangnya RM5 bilion - tertinggi dalam lapan tahun.

  

Beliau memberitahu jawatankuasa akaun awam Parlimen bahawa keuntungan akan didorong oleh perolehan yang dicatat tahun lalu atau tahun ini, termasuk melalui tawaran awam permulaan (IPO) firma perisian mudah alih Phunware dan peruncit fesyen Farfetch.

 

Khazanah juga berusaha mengurangkan kos operasi sebanyak 30 hingga 40 peratus dalam beberapa tahun akan datang.

Shahril berkata, Khazanah seharusnya mempunyai kehadiran luar negara yang lebih besar seperti dana di negara-negara seperti Norway dan Singapura.

  

"Maka, pada asasnya jika sesuatu berlaku kepada ekonomi tempatan, anda masih mempunyai pendapatan luar," kata Shahril dalam laporan yang disiarkan kepada umum pada hari Rabu.

  

Beliau juga berjanji "banyak penyusunan semula" dalam portfolio komersial Khazanah tanpa memberikan butiran. Portfolio komersial termasuk kepentingan dalam CIMB Group Holdings, Axiata Group, IHH Healthcare, Alibaba dan beberapa syarikat tersenarai dan tidak tersenarai yang kurang dikenali.

  

"Khazanah sepatutnya mula menyusun semula portfolio itu empat hingga lima tahun lalu, keluar dari beberapa aset dan melabur semula dalam perkara lain," kata Shahril, yang dibawa menyertai Khazanah tahun lalu oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Keputusan mengenai aset strategik - seperti syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Bhd, Malaysia Airlines Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan Telekom Malaysia Bhd - perlu dibuat oleh kerajaan.

  

Shahril berkata, memulihkan Malaysia Airlines milik penuh Khazanah terbukti menjadi satu cabaran besar. Tanpa penyatuan industri, Khazanah perlu menyuntik lebih RM1 setahun untuk mengekalkan syarikat penerbangan itu, katanya.

  

Kerajaan pada minggu ini berkata, ia telah menyenarai pendek empat pelabur yang berpotensi untuk syarikat penerbangan itu, dan menurut sumber dengan pengetahuan mengenai perkara itu, matlamatnya adalah untuk memastikan urus niaga itu dimuktamadkan pada suku pertama tahun depan. - Reuters

Berita Harian X