Jumaat, 18 Oktober 2019 | 3:19pm

Saudi Aramco tangguh pelancaran IPO

NEW YORK: Saudi Aramco bercadang untuk menangguhkan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu, yang dijangka dilancarkan minggu depan, demikian menurut sumber yang biasa dengan perkara itu.

Tindakan itu akan melewatkan dagangan saham gergasi minyak itu kepada Disember ini atau Januari tahun depan, berbanding jangkaan awal pada November, katanya.

Penyenaraian syarikat itu dijangka menjadikannya bernilai antara AS$1.5 dan AS$2 trilion.

Sumber berkata kepada AFP pada pertengahan September lalu, bahawa IPO mungkin ditangguhkan selepas serangan terhadap kemudahan minyak Arab Saudi, yang mengurangkan pengeluaran.

IPO adalah sebahagian usaha Riyadh di bawah Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk mempelbagaikan ekonominya selain petroleum.

Saudi Aramco membayangkan penyenaraian awam dua peringkat, dengan kira-kira dua peratus daripada perdagangan modal pada pertukaran Tadawul di Arab Saudi dan penyenaraian tambahan di bursa luar negara, kata sumber.

Syarikat itu berhasrat untuk menyediakan kira-kira lima peratus saham tersedia di bursa awam.

Prospek penurunan nilai sebanyak AS$2 trilion yang diharapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dianggap sebagai sebab IPO berkenaan tertangguh.

Inisiatif terdahulu untuk menyenaraikan Saudi Aramco ditarik semula tahun lalu berikutan penilaian semasa tempoh suram bagi harga minyak adalah mengecewakan.

-AFP

Berita Harian X