Jumaat, 18 Oktober 2019 | 8:45am
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pendapatan Tetap dan Sukuk Malaysia, Hanifah Hashim.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pendapatan Tetap dan Sukuk Malaysia, Hanifah Hashim.

Pelabur kekal berhati-hati terhadap sektor jalan bertol - Franklin Templeton

KUALA LUMPUR: Pelabur akan mengekalkan unjuran berhati-hati terhadap sektor jalan bertol, berikutan kekurangan butiran dan ketidakpastian berhubung rancangan pengambilalihan untuk lebuh raya Gamuda Bhd dan PLUS Malaysia Bhd, kata Franklin Templeton GSC Asset Management Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pendapatan Tetap dan Sukuk Malaysia, Hanifah Hashim, berkata sementara belanjawan menyentuh berhubung pembiayaan untuk pengambilalihan jalan bertol menerusi terbitan bon jaminan kerajaan, masih tidak terdapat maklumat yang mencukupi untuk menilai risiko yang terbabit.

Beliau juga berkata, butiran penting termasuk tempoh masa pengambilalihan, nilai penebusan bon sedia ada dan butiran terperinci mengenai diskaun tol tidak jelas pada masa ini.

“Sehingga terdapat penjelasan lanjut berhubung hala tuju sektor jalan bertol, pelabur bon akan terus meminggirkan diri daripada melabur dalam bon jalan bertol seperti yang terbukti oleh jumlah dagangan lebih rendah, dan jumlah sekunder untuk bon PLUS pada 2018 berbanding 2017,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pengumuman Belanjawan 2020 baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Kabinet meluluskan pengambilalihan yang dicadangkan kementeriannya terhadap empat lebuh raya di Lembah Klang yang dibiayai menerusi pinjaman yang dijamin kerajaan.

Beliau juga berkata, Kabinet akan mempertimbangkan semua cadangan termasuk daripada Khazanah Nasional Bhd, untuk pengambilalihan atau penjualan semua saham milik PLUS Malaysia dengan matlamat akhir memansuhkan kutipan tol secara beransur-ansur.

Pengambilalihan empat lebuh raya itu ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

Gamuda adalah pemegang saham terbesar untuk semua empat lebuh raya itu.

Hanifah berkata, pelabur ketika ini sedang memberi tumpuan pada harga dengan mengambil kira pengurangan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi pada November 2019 atau paling lewat menjelang suku pertama 2020, disebabkan oleh pertumbuhan perlahan yang timbul daripada persekitaran luaran yang tidak menentu.

“Bagaimanapun, sasaran kadar inflasi lebih tinggi pada 2.0 peratus dan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) yang tinggi sebanyak 4.8 peratus, mengurangkan kebarangkalian penurunan kadar faedah sekali lagi dalam tempoh jangka pendek.

“Terutamanya, Malaysia mendahului rakan serantaunya dari segi pengurangan monetari. Kami menjangkakan hasil bon akan didagangkan setara disebabkan sasaran inflasi lebih tinggi akan menunjukkan kecenderungan aliran meningkat dalam hasil bon, walaupun bekalan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MSG) kasar yang lebih rendah sepatutnya menyokong hasil pada 2020,” tambahnya.

Disebabkan defisit fiskal pada 2020 akan dimampatkan sebanyak 0.2 peratus kepada 3.2 peratus daripada 3.4 peratus, bekalan MSG kasar sepatutnya berada dalam aliran menurun tahun ke tahun.

“Dalam pada itu, memandangkan aliran perdagangan global yang tidak dapat diramalkan, sebarang peluang akan menyebabkan kenaikan dan hasilnya kami menjangkakan hasil bon akan menjadi tidak menentu,” kata Hanifah.

Berita Harian X