Isnin, 14 Oktober 2019 | 9:01am

FR Qaseh terima Anugerah World Halal Bestbrands Awards

TUMPAT: FR Qaseh Sdn Bhd, yang mengeluar kopi pracampur jenama Manja Kaseh and Arjuna Kaseh, mensasarkan untuk memasarkan produknya ke luar negara tahun depan.

Pengarah Urusannya, Faizul Rohban, berkata syarikat itu menjual kira-kira 3,000 botol produk itu sebulan, dan merancang menambah angka itu kepada 10,000 botol sebulan pada 2020.

“Kami merancang mengeksport produk kopi ini ke Filipina, Thailand, Indonesia dan Brunei,” katanya kepada BERNAMA.

FR Qaseh, yang memulakan operasi pada 2013, mempunyai kilang di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Syarikat itu menerima Anugerah Jenama Terbaik anjuran The BrandLaureate di Kuala Lumpur pada 23 September lalu.

Faizul berkata, beliau bangga terhadap pencapaian yang diterima syarikatnya memandangkan ia baru beroperasi tidak sampai 10 tahun.

"Saya amat berbangga kerana belum satu dekad syarikat beroperasi, ia semakin berkembang dan mampu dinobatkan sebagai penerima anugerah oleh pihak antarabangsa," katanya.

"Memang hasrat utama saya untuk produk ini dipasarkan ke luar negara, namun selepas difikir-fikirkan saya rasa lebih baik produk ini menguasai pasaran di dalam negara terlebih dulu.

"Selepas kita 'menjuarai' pasaran tempatan, barulah langkah seterusnya diambil. Itulah perancangan saya selepas ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X