Rabu, 9 Oktober 2019 | 11:06pm
YEO Bee Yin

Pasaran Tenaga P2P dilancar sediakan penjimatan tarif kira-kira 10% 

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melancarkan projek perintis pasaran urus niaga tenaga PEER-TO-PEER (P2P) yang bakal menjadi platform kepada penjana tenaga menjual tenaganya terus kepada pengguna.

Projek perintis itu akan dilaksanakan dalam tempoh lapan bulan bermula bulan depan yang mana untuk permulaan kapasiti dagangan tenaga yang berjaya dikumpulkan dan diluluskan untuk didagangkan sepanjang tempoh itu adalah kira-kira 1,600 kiloWatt (kW).

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata pelaksanaan projek perintis itu bertujuan untuk mendapatkan maklum balas dan hasil pelaksanaan P2P sebelum dagangan tenaga diperluaskan kepada lebih banyak pengeluar-pengguna (prosumer) pada masa depan.

Justeru, katanya, pada peringkat perintis itu belum dibuka kepada umum namun kementerian menerusi Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) sudah berjaya mengumpulkan beberapa peserta untuk terbabit dalam urus niaga awal.

"Ini adalah usaha kami untuk membolehkan pengguna menjual tenaga elektrik. 

"Berbeza di bawah NEM, penjana tenaga akan menjual tenaga yang dijananya seperti tenaga solar kepada TNB, namun kini mereka boleh jual kepada orang lain. 

"Ini sangat progresif kerana urus niaga akan berlaku di platform yang dipantau, dan kementerian akan melihat hasil projek perintis ini supaya dapat melihat cara terbaik melaksanakannya pada masa depan," katanya pada majlis pelancaran P2P di sini, tadi.

Pelancaran itu berlangsung sempena Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM2019) yang ke-10.

Menerusi pameran yang berlangsung tiga hari bermula hari ini, kementerian menyasarkan menjana RM2.8 bilion potensi perniagaan, menarik 35,000 pengunjung dan membabitkan 300 pempamer dari 35 negara.

Sementara itu, Pengerusi SEDA, Wong Kah Woh, dalam temu bualnya dengan BH berkata P2P mampu menyediakan tarif harga yang berdaya saing kepada pengguna menerusi inisiatif SEDA meminta pihak prosumer mengekalkan margin mereka dalam lingkungan 10 peratus supaya harga tarif lebih menarik.

Katanya, menerusi inisiatif itu SEDA menyasarkan pengguna mampu mencapai penjimatan sekitar 10 peratus daripada tarif sedia ada ketika ini.

"Kami sudah berjaya kumpulkan kapasiti keseluruhan tenaga untuk urus niaga P2P sebanyak 1,600 kW namun ia baru peringkat permulaan dan apabila lebih ramai prosumer datang memohon kepada kami, ia akan nilai dan luluskan kelak.

"Kami jangkakan lebih ramai prosumer yang sedar manfaat ini dan menghantar permohonan, namun ia perlulah dinilai terlebih dulu supaya tenaga yang dijana akan menepati permintaan semasa," katanya.

Berita Harian X