Rabu, 9 Oktober 2019 | 4:46pm
TIMBALAN Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Hairil Yahri Yaacob (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa (dua kiri) pada Majlis Pelancaran 'SAVE' di Kuala Lumpur. NSTP/Rosdan Wahid.

Program SAVE galak pengeksport terap aspek kemapanan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memulakan program kesedaran pada tahun ini dan tahun depan bagi menggalakkan pengeksport tempatan menerapkan aspek kemapanan dalam perniagaan mereka.

Usaha yang menjadi sebahagian daripada pelan lima tahun itu adalah di bawah perkongsian nilai korporat yang dikenali sebagai Nilai Tindakan Mapan Untuk Pengeksport (SAVE).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Latiff Wan Musa, berkata agensi itu adalah yang pertama melaksanakan pendekatan SAVE, yang bukan program dianjurkan secara sekali sahaja.

“Tahun ini, kami telah merancang beberapa program yang disasarkan kepada pihak berkepentingan dalaman dan luaran. Malah, kami akan mengadakan lebih banyak program kesedaran itu bagi kemajuan masa depan.

“Kami juga akan melaksanakan aspek pensijilan dan bekerjasama dengan pihak lain seperti (Jabatan) Standard Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran SAVE yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Hairil Yahri Yaacob di sini, hari ini.

Objektif SAVE adalah untuk menyemarakkan penerapan amalan mapan sebagaimana ditetapkan agenda Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam kalangan pengeksport Malaysia yang dapat memberi mereka kelebihan eksport yang strategik.

Program SAVE yang juga seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dilancarkan pada Sabtu lalu, akan dilaksanakan secara berperingkat dan tahun ini menumpukan inisiatif pembangunan kapasiti bagi menangani kekurangan kesedaran mengenai kemapanan perniagaan dan perniagaan bertanggungjawab dalam kalangan pengeksport tempatan.

Wan Latiff berkata, MATRADE juga akan memulakan langkah bagi mengukur program SAVE berbanding program dilaksanakan negara maju yang mapan dalam operasi perniagaan masing-masing, pada separuh kedua 2020.

“Kita mungkin akan meneliti beberapa syarikat besar di Malaysia yang telah melaksanakan pendekatan berkenaan,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X