Isnin, 7 Oktober 2019 | 2:10pm
DATUK Shahril Ridza Ridzuan.
DATUK Shahril Ridza Ridzuan.

Bencana moral besar jika lepaskan PLUS - Khazanah

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd bertegas enggan melepaskan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) kerana ia akan mencetuskan 'bencana moral yang besar' jika aset strategik itu jatuh ke tangan syarikat swasta. 

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata agensi pelaburan negara itu melihat PLUS sebagai aset strategik negara yang sepatutnya dikekalkan dalam pemilikan rakyat Malaysia.

Justeru, katanya, Khazanah sedang dalam perbincangan dengan kerajaan berhubung isu itu bagi mencapai sasaran ditetapkan kerajaan pada masa yang sama menepati manfaat kewangan dan pemilikannya dalam PLUS.

Sangat sukar kita bayangkan jika ia jatuh ke tangan syarikat swasta, lebih-lebih lagi entiti swasta hanya mahu ambil alih aset itu pada harga yang murah dan minta kerajaan menjamin mereka.

"Ia bencana moral yang besar jika biarkan syarikat swasta miliki aset strategik seperti itu dengan dijamin oleh jaminan kerajaan," katanya kepada media Forum Khazanah Megatrends 2019 di Kuala Lumpur, tadi.

Semalam, BH melaporkan firma pelaburan berpangkalan di Hong Kong milik rakyat Malaysia, RRJ Capital Ltd, menaikkan harga tawaran pengambilalihan PLUS, syarikat pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia, kepada RM3.5 bilion berbanding RM3 bilion yang ditawarkan sebelum ini.

Ia susulan akhir bulan lalu, RRJ dilaporkan mengemukakan tawaran pembelian PLUS sebanyak RM3 bilion tunai dan pengurangan tol sebanyak 20 peratus.

Berita Harian X