Ahad, 6 Oktober 2019 | 4:34pm
Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Belanjawan 2020 dijangka bersifat pengembangan

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) menjangkakan Belanjawan 2020 akan menjadi belanjawan pengembangan, dengan strategi khusus untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama meneruskan usaha membina kapasiti, khususnya dalam sektor penting.

Sektor itu termasuk elektrik dan elektronik, jentera dan peralatan, produk kimia dan kimia, aeroangkasa, peralatan perubatan dan pelancongan, kata Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed.

Bagaimanapun, beliau berkata belanjawan pengembangan berstrategi adalah tugas yang mencabar, dengan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global semasa seperti perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berlarutan, isu ‘tiada rundingan’ Brexit dan ketegangan geopolitik yang lain.

“Faktor ini telah secara langsung memberi kesan terhadap harga minyak mentah serta eksport kita yang lain, dan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober oleh Menteri Kewangan perlu mengambil kira ketidakpastian luaran itu, menjadikan belanjawan pengembangan tugas yang mencabar,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, berhubung harapan BIMB dalam belanjawan itu, Mohd Muazzam berkata bank itu berharap peruntukan kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dapat ditingkatkan bagi membolehkan bank menyediakan lebih banyak perkhidmatan pembiayaan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) .

Langkah itu akan meningkatkan keyakinan institusi kewangan dalam menyediakan pinjaman kepada PKS dari segi pengurusan risiko kredit, katanya.

Mohd Muazzam berkata, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) juga patut diteruskan, kerana penjualan unit rumah dalam kalangan pembeli kali pertama telah meningkat melalui insentif seperti diskaun untuk hartanah yang disenaraikan di bawah skim HOC dan pengecualian setem duti 100 peratus bagi hartanah perumahan bernilai RM1 juta dan ke bawah.

-BERNAMA

Berita Harian X