Rabu, 2 Oktober 2019 | 6:36pm
PERSATUAN Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).
PERSATUAN Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Industri sarung tangan getah tidak terkesan sekatan AS

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menegaskan laporan mengenai pengharaman import sarung tangan getah Malaysia oleh Amerika Syarikat (AS) adalah tidak benar dan mengelirukan.

Dalam satu kenyataan, persatuan itu berkata ia hanya membabitkan sebuah syarikat Malaysia dan bukannya sarung tangan getah Malaysia secara keseluruhan.

“MARGMA sangat sedih dengan penerbitan itu dan kami ingin tegaskan bahawa kami sentiasa bersedia untuk memenuhi permintaan bagi mengetahui fakta dan angka yang tepat mengenai industri ini.

“Bagaimanapun, menjadi harapan kami untuk menjelaskan bahawa hanya satu syarikat sahaja yang disekat, bukannya semua sarung tangan getah Malaysia,” katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan pihak berkuasa AS mengharamkan import sarung tangan getah yang dikeluarkan oleh WRP Asia Pacific Sdn Bhd, sebuah syarikat dari Malaysia, yang didakwa menggunakan buruh paksa.

Perlindungan Sempadan dan Kastam AS (CBP) dalam kenyataannya berkata pihaknya sudah mengeluarkan perintah pelepasan tahanan (WRO) kepada WRP.

“Tindakan ini berdasarkan pada maklumat yang diperoleh dan dikaji semula oleh CBP yang menunjukkan produk dihasilkan secara keseluruhan atau sebahagiannya menggunakan buruh paksa,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, MARGMA berkata, pihaknya juga terbabit dan sentiasa mengemas kini Kedutaan AS dan Jabatan Tenaga Kerja semasa lawatan mereka terhadap usaha kerajaan dalam melaksanakan Piawaian Kepatuhan Sosial dalam industri sarung tangan getah Malaysia.

“MARGMA mengambil serius pematuhan sosial bagi memastikan penghantaran sarung tangan ke AS dan seluruh dunia berada dalam pematuhan sepenuhnya,” kata persatuan itu.

Berita Harian X