Sabtu, 28 September 2019 | 6:02pm
Ketua Pegawai Operasi NSTP, Datuk Yushaimi Yahaya (dua dari kanan) dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong ( dua dari kiri) selepas majlis Putra Brand Award. - Foto NSTP

Anugerah Emas untuk TV3

KUALA LUMPUR: Kumpulan Media Prima meraih pelbagai Anugerah Putra Brand 2019 dengan stesen televisyen TV3 mengungguli Anugerah Emas bagi kategori Rangkaian Media.

Stesen televisyen NTV7 pula menerima Anugerah Perak, manakala akhbar Berita Harian dan Harian Metro masing-masing mendapat Anugerah Gangsa bagi kategori yang sama dalam majlis di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Yushaimi Yahaya, Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong dan Pengurus Besar, Agensi dan Korporat, Bahagian Pengiklanan NSTP, Roche Chew.

Anugerah Putra Brand acara berprestij bagi anugerah jenama utama di Malaysia yang dimulakan pada 2010.

Program itu inisiatif Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) untuk mengiktiraf jenama yang paling dekat di hati rakyat Malaysia dengan penilaian berdasarkan pilihan pengguna.

Sebanyak 129 Anugerah daripada 23 kategori dipertanding dalam anugerah bagi tahun ini.

Berita Harian X