Khamis, 26 September 2019 | 10:06pm

TM wujud hab robotik di sekolah galak inovasi

ARAU: Dalam usaha meningkatkan kesedaran era Revolusi Industri (IR) 4.0 dalam kalangan masyarakat, Telekom Malaysia Berhad (TM) mewujudkan Hab Robotik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau untuk menggalakkan pelajar dan komuniti setempat mempelajari mengenai inovasi dan teknologi.

Pengurus Besar Negeri TM Kedah dan Perlis, Anis Ahmad Mohd Ibrahim, berkata dengan sokongan padu daripada PINTAR Foundation dan rakan usaha sama seperti Creative Minds dan TM Coachunity, pelbagai aktiviti berasaskan pendidikan menerusi program berkaitan subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dianjurkan.

Antaranya adalah program Robotik TM, percetakan 3D melalui Program TM 3Ducation dan pocket lab atau log data melalui Program Nano Maker Kit bagi meningkatkan pengetahuan teknologi dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab syarikat di bawah inisiatif Tanggungjawab Korporat (CR), TM membantu penubuhan Hab Robotik dilengkapi dengan peralatan dan peranti yang diperlukan sebagai ‘dunia baharu’ untuk pelajar peringkat sekolah menengah di SMK Arau.

"Pendedahan kepada teknologi dan inovasi seumpama ini dapat menggalakkan komuniti sekolah dan komuniti setempat untuk menerapkan gaya hidup digital seiring peredaran zaman yang memacu ke arah sebuah Negara Digital,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis graduasi program Sekolah Angkat TM di SMK Arau, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan menandakan berakhirnya tempoh tiga tahun sekolah itu menjadi sekolah angkat TM sejak Ogos 2016 di bawah fasa kelima Program Sekolah Angkat TM yang bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dan mewujudkan asas kukuh bagi tenaga kerja digital negara untuk mendepani cabaran mendatang, termasuklah IR 4.0.

Anis berkata, TM memperuntukkan lebih RM2.4 juta sejak program dimulakan pada 2003 sehingga kini dengan mengambil sebanyak 15 buah sekolah angkat di seluruh negara dan program itu telah memberi manfaat kepada lebih daripada 20,000 orang termasuk pelajar, guru-guru, ibu bapa dan masyarakat setempat.

-- BERNAMA

Berita Harian X