X
Rabu, 25 September 2019 | 2:17pm
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto Abd Rahim Rahmat
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto Abd Rahim Rahmat

Indeks Harga Pengguna meningkat 1.5% Ogos 2019

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.5 peratus pada Ogos 2019 kepada 121.8 berbanding 120.0 bulan sama 2018, demikian menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 396 item menunjukkan peningkatan pada Ogos 2019 berbanding Ogos 2018, manakala 117 item mencatatkan penurunan dan 39 item lain tidak berubah.

“Kenaikan indeks keseluruhan ini adalah didorong kenaikan indeks hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.2 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (2.6 peratus); minuman alkohol dan tembakau (2.5 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.3 peratus) dan komunikasi (2.2 peratus),” menurut jabatan itu.

Bagi perbandingan bulanan, IHP itu menunjukkan peningkatan 0.2 peratus berbanding Julai 2019, dengan disokong terutama oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.5 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.5 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (0.2 peratus); kesihatan (0.2 peratus) serta restoran dan hotel (0.2 peratus).

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini mencatatkan peningkatan 0.5 peratus berbanding tempoh yang sama 2018. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X