Selasa, 24 September 2019 | 3:15pm
GALERI Merdeka 118 di Bangunan Kenanga International. NSTP/Eizairi Shamsudin

Merdeka 118 gabungan sejarah dan kotemporari

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan Merdeka 118 oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) bakal menyaksikan penyatuan luar biasa antara seni bina sejarah dan kotemporari apabila ia siap menjelang 2021.

Pelaburan utama pengurus dana terkemuka negara itu, menerusi anak syarikat milik penuhnya, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, apabila siap kelak akan mengubah latar langit ibu negara dengan reka bentuk yang mencerminkan imej ikonik pengisytiharan kemerdekaan oleh Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, berkata menara setinggi 118 tingkat

itu bukan saja melambangkan kebudayaan dan sejarah kemerdekaan negara, malah ia juga adalah perubahan dan masa depan berdasarkan gabungan seni bina kotemporari dan sejarah kawasan berkenaan yang terletak bersama dengan dua warisan negara, Stadium Negara dan Stadium Merdeka.

Beliau berkata, sebagai pemangkin perubahan, Merdeka 118 bakal menghidupkan semula lokasi bersejarah itu apabila ia siap kelak dengan pihaknya akan mengutamakan pelan pengaktifan sepanjang tahun dengan kerjasama yang bakal membabitkan dan menghubungkan komuniti di sekitar kawasan itu secara langsung.

Katanya, PNB juga berharap ia akan menarik minat pengunjung serta mencerminkan personaliti dan semangat presint Merdeka 118, sekali gus membawa kesan positif kepada kawasan lain di ibu negara.

“Hari ini, kami melancarkan Galeri Pameran Merdeka 118 bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat ciri penting projek ini.

“Merdeka 118 adalah pelaburan utama oleh PNB dan apabila ia siap kelak akan menjadi mercu tanda ikonik dan memberi nafas baharu kepada kawasan berkenaan,” katanya pada pelancaran Galeri Pameran Merdeka 118, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif, Harta/Hartanah PNB, Rizal Rickman Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud.

Apabila siap kelak, Merdeka 118 akan mempunyai lebih tiga juta kaki persegi kawasan lantai yang merangkumi 1.65 juta kaki persegi ruang pejabat Gred A untuk disewa, Dek Pemerhatian PNB yang tertinggi di Asia Tenggara, satu-satunya Park Hyatt Hotel di Malaysia, satu juta kaki persegi pusat membeli belah yang menarik dan tiga menara kediaman premium.

Sementara itu, Rizal Rickman berkata, pembinaan Menara Merdeka 118 yang dimulakan pada 2016 kini sudah 38 peratus siap dengan ketinggian 78 tingkat.

Beliau berkata, apabila siap dibina menjelang 2021, menara setinggi 118 tingkat dengan ketinggian 635 meter itu akan menjadi mercu tanda baharu yang melengkapi kaki langit KL.

Mengulas mengenai kos pembangunan Merdeka 118, Rizal Rickman berkata, pembangunannya masih dalam kos yang dirancangkan iaitu RM5 bilion bagi fasa pertama dan kedua, sementara jumlah kos pembangunan kasar bagi projek itu adalah RM7 bilion.

Beliau berkata, fasa ketiga membabitkan kawasan kediaman akan dilancarkan tahun depan.

Menara Merdeka 118 juga mensasarkan penarafan tiga akreditasi platinum dengan Leadership in Energy and Environmental Design (LEED), GreenRE dan Green Building Index (GBI) yang akan menjadikan Merdeka 118 bangunan pertama di Malaysia untuk mendapat penarafan sedemikian.

Berita Harian X