Isnin, 23 September 2019 | 3:59pm

Thomas Cook diisytihar muflis

LONDON: Kumpulan perjalanan British, Thomas Cook mengisytiharkan muflis pada Isnin selepas gagal mencapai kesepakatan untuk penyelamatan terakhir, mencetuskan proses membawa pulang terbesar United Kingdom (UK) sejak Perang Dunia II kerana puluhan ribu penumpang terkandas.

  

Pengendali perjalanan berusia 178 tahun itu yang bergelut dengan persaingan sengit dalam talian selama beberapa waktu dan yang menyalahkan ketidakpastian Brexit sebagai punca kejatuhan dalam tempahan baru-baru ini, telah berusaha keras mencari £200 juta (AS$250 juta, 227 juta euro) daripada pelabur swasta untuk mengelakkan kejatuhan.

Berita itu menyebabkan 600,000 pelancong dilaporkan terkandas di seluruh dunia, termasuk kira-kira 150,000 pelancong yang meminta bantuan daripada kerajaan British untuk pulang ke rumah.

  

Dalam satu kenyataan yang diterbitkan pada awal pagi, Thomas Cook berkata bahawa "walaupun banyak usaha dilakukan" ia tidak dapat mencapai persetujuan antara pemegang kepentingan syarikat dan penyedia wang baharu yang dicadangkan.

 

"Oleh itu, lembaga syarikat membuat kesimpulan bahawa ia tidak mempunyai pilihan tetapi mengambil langkah untuk memasuki pembubaran wajib dengan serta-merta," kata kenyataan itu.

  

Kerajaan UK berkata, ia telah mengupah pesawat untuk membawa pulang pelancong British, dalam satu operasi yang bermula serta-merta.

  

"Berikutan kejatuhan Thomas Cook dan pembatalan semua penerbangannya, Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps, telah mengumumkan bahawa pihak kerajaan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam UK telah mengupah puluhan pesawat dipajak untuk menerbangkan pelancong pulang ke rumah tanpa bayaran," kata kenyataan itu, menyifatkannya sebagai operasi membawa pulang terbesar dalam sejarah ketika keadaan aman.

 

"Semua pelanggan yang sedang berada di luar negara dengan menempah Thomas Cook untuk kembali ke UK dalam tempoh dua minggu akan datang akan dibawa pulang secepat mungkin mengikut tarikh tempahan pulang mereka," tambah kerajaan.

Destinasi utama perjalanan yang dikendalikan gergasi pelancongan itu adalah di Eropah Selatan dan Mediterranean tetapi ia juga menawarkan cuti di Asia, Afrika Utara dan Caribbean.

Ketua Eksekutif Thomas Cook, Peter Fankhauser, menyifatkannya sebagai "hari yang sangat sedih", dengan ribuan pekerjaan hilang.

  

"Ini adalah satu perkara yang amat dikesali oleh saya dan seluruh lembaga pengarah kerana kita tidak berjaya," katanya.

  

"Ini menandakan hari yang amat menyedihkan bagi syarikat yang pertama mempelopori pakej percutian dan merealisasikan perjalanan untuk berjuta-juta orang di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan kumpulan itu. - AFP

Berita Harian X