Khamis, 19 September 2019 | 9:47am

Rizab Persekutuan suntik AS$75 bilion ke dalam sistem perbankan

NEW YORK: Rizab Persekutuan menyuntik tambahan AS$75 bilion (RM314.48 bilion) ke dalam sistem perbankan Amerika Syarikat (AS), bagi memulihkan naik turun melampau dalam dana sistem perbankannya.

Ketidaktentuan dalam pasaran kewangan muncul ketika mana pembuat dasar Rizab Persekutuan sedang berbincang untuk memutuskan sama ada menurunkan kadar pinjaman utama bagi memerangi risiko ketegangan perdagangan AS-China, ekonomi global yang perlahan dan inflasi domestik yang lembap.

Ini memberi tekanan kepada pegawai Rizab Persekutuan untuk membuat pembetulan jangka panjang, seperti memotong kadar faedah, bertujuan mengelak turun naik lanjut dalam pasaran pembiayaan dan menambah lebih banyak rizab kekal ke dalam sistem perbankan, kata penganalisis.

Pada Selasa, kadar faedah "berkesan" atau kadar faedah purata dalam pasaran dana persekutuan, mencecah 2.30 peratus, di atas paras tertinggi semasa 2.25 peratus.

Langkah sedemikian, yang tidak berlaku sejak 2008, jika ia berterusan akan menggegarkan keyakinan pelabur terhadap Rizab Persekutuan.

Bank pusat AS memotong kadar faedah penanda aras buat kali kedua tahun ini.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang menetapkan dasar menurunkan kadar faedah dasar sebanyak 25 mata asas kepada sasaran jajaran 1.75 hingga 2.0 peratus, seperti yang dijangkakan.

Malam tadi, Ketua Rizab Persekutuan Jerome Powell bertekad untuk melakukan apa saja yang diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Tetapi jawatankuasa dasar Rizab Persekutuan berbeza pandangan, dengan tiga daripada 10 ahli mengundi membantah keputusan itu, satu daripadanya pula kerana beliau mahukan lebih banyak rangsangan.

Powell berkata, penggubal dasar tidak menjangka kemelesetan akan berlaku, tetapi ketidakpastian perdagangan mewujudkan rintangan yang mempengaruhi ekonomi di tengah-tengah konflik Donald Trump dengan China. - Reuters/AFP

Berita Harian X