Ahad, 15 September 2019 | 5:32pm

Japan Airlines tawar ambil alih kepentingan Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Japan Airlines Co (Japan Airlines) mungkin menjadi pesaing untuk membeli kepentingan dalam Malaysia Airlines Bhd, menurut laporan media yang memetik sumber.

Sumber itu menjelaskan, terdapat rundingan peringkat tertinggi bagi Japan Airlines untuk meneruskan minatnya ke atas syarikat penerbangan Malaysia di tengah-tengah hubungan akrab antara dua kerajaan negara berkenaan.

Jun lalu, Presiden Japan Airlines, Yuji Akasaka, berkata terlalu awal untuk mengatakan sama ada syarikat penerbangan itu akan mempertimbangkan pelaburan dalam Malaysia Airlines walaupun perbincangan lanjut mungkin dilakukan, kata laporan media.

Bagaimanapun wakil Japan Airlines dan pejabat syarikat berkenaan gagal dihubungi di luar waktu operasi.

Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), dana pelaburan nasional dan pemegang saham tunggal dana Malaysia Airlines melantik Morgan Stanley bagi meneliti pilihan strategik kepada syarikat penerbangan itu.

Antara yang diteliti adalah penjualan kepentingan.

Jabatan Komunikasi Korporat Khazanah juga gagal dihubungi susulan di luar waktu pejabat.

Malaysia meninjau lebih banyak perjanjian dengan Jepun dari terbitan bon hinggalah penjualan aset.

Khazanah menjual 16 peratus kepentingannya dalam IHH Healthcare Bhd kepada Mitsui & Co membabitkan nilai AS$2 bilion (RM8.34 bilion) tahun lalu, sementara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu negara itu meneruskan rancangan menerbitkan bon yen menjelang akhir tahun ini. - Bloomberg

Berita Harian X