Rabu, 11 September 2019 | 5:55pm
PENOLONG Prof Jabatan Kejuruteraan Aeronautik Universiti Teknikal Istanbul, Dr Ismail Bayezit

Potensi kembang industri dron Malaysia

CYBERJAYA: Industri dron Malaysia mampu berkembang sebagaimana kemampuan negara mengemudi pasaran halal dan kewangan Islam di peringkat global.

Penolong Prof Jabatan Kejuruteraan Aeronautik Universiti Teknikal Istanbul, Dr Ismail Bayezit, berkata bagi mengembangkan kemampuan peserta dron Malaysia, Turki mempelawa pembangun teknologi mobiliti udara itu menerokai potensi pasaran negara terbabit.

“Syarikat Malaysia memiliki kemampuan untuk memasuki pasaran dron Turki yang menawarkan peluang besar untuk berkembang dalam industri dron komersial.

“Buat masa ini Aerodyne Group sudah menyatakan minat untuk meneroka pasaran Turki dan negara kami amat terbuka kepada mana-mana syarikat Malaysia yang lain,” katanya ketika ditemui selepas taklimat Industri Aeroangkasa dan Dron Turki: Teknologi dan Peluang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Sdn Bhd, Mahadhir Aziz.

Dr Ismail menjelaskan, kerajaan Turki menawarkan pelbagai insentif kepada syarikat luar untuk membangunkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk insentif pelepasan cukai.

“Di Turki terdapat pelbagai negara menjalankan R&D untuk dikomersialkan di negara kami. Syarikat Malaysia juga amat dialu-alukan untuk memasuki pasaran kami,” katanya.

Sementara itu, Mahadhir berkata, industri dron tempatan dijangka dapat berkembang pesat apabila undang-undang dan peraturan sedia ada dikemaskini.

Katanya, buat masa ini peraturan di Malaysia masih belum terbuka untuk aktiviti dron lebih komersial dan bakal berubah pada masa depan selaras dengan perkembangan global.

“Kita dapati banyak syarikat Malaysia berkembang pesat di pasaran luar tetapi bukan di Malaysia.

“Justeru, Futurise sebagai anak syarikat Cyberview Sdn Bhd menjadi perunding kepada kerajaan dan peserta industri bagi mengubah atau mengemaskini peraturan sedi ada supaya lebih terbuka kepada industri dron.

“Malaysia memiliki potensi untuk berkembang dalam industri dron. Futurise akan menjadikan inovasi ini selaras dengan peraturan bagi memacu industri ini,” katanya.

130 dibaca
Berita Harian X