Rabu, 11 September 2019 | 4:32pm

China kecualikan 16 kategori produk AS dari tarif

BEIJING: China hari ini mengumumkan akan mengecualikan 16 kategori produk daripada tarif Amerika Syarikat (AS), menjelang pusingan baharu perundingan perdagangan bulan depan.

Beijing dan Washington telah terbabit dalam perang perdagangan selama setahun yang menyaksikan kedua-dua pihak mengenakan hukuman tarif terhadap beratus-ratus bilion dolar dalam perdagangan dua hala.

Pengecualian yang diumumkan pada hari ini akan berkuatkuasa pada 17 September dan sah selama setahun, menurut Suruhanjaya Tarif Kastam Negeri, yang mengeluarkan dua senarai yang termasuk produk makanan laut dan ubat anti kanser.

Senarai itu menandakan buat kali pertama Beijing telah mengumumkan produk yang dikecualikan daripada tarif.

Kategori lain yang akan dikecualikan termasuk pelet alfalfa, makanan ikan, medical linear accelerators dan ejen pembebasan acuan.

Senarai yang dikeluarkan pada Rabu itu tidak termasuk item besar seperti kacang soya dan daging khinzir.

Namun, dalam kenyataan itu, suruhanjaya itu berkata ia juga mempertimbangkan pengecualian selanjutnya.

Perunding perdagangan berkata, mereka akan bertemu di Washington pada awal Oktober, meningkatkan harapan untuk mengurangkan ketegangan antara dua ekonomi terbesar di dunia itu.

Kedua-dua pihak mengenakan tarif tambahan yang baharu pada 1 September.

Dalam tanda tekanan yang dirasakan oleh ekonomi China, People's Bank of China Jumaat lalu berkata, ia akan mengurangkan jumlah wang tunai peminjam yang mesti disimpan, yang membolehkan anggaran sebanyak AS$126 bilion tambahan pinjaman kepada perniagaan.

Pertumbuhan ekonomi China mencapai 6.2 peratus pada suku kedua, kadar paling rendah dalam hampir tiga dekad.

Presiden Donald Trump pada Jumaat lalu berkata, kesan perang perdagangan yang berlarutan lebih memberi kesan terhadap China berbanding AS.

"China sedang menerima kesan daripada tarif," katanya di Twitter, mengulangi dakwaannya bahawa cukai yang lebih tinggi bermakna Washington sedang mengumpulkan berbilion ringgit dari gergasi Asia, tanpa kos yang dipindahkan kepada pengguna AS.

Namun, pakar telah memberi amaran terdapat tanda-tanda AS juga merasakan kesannya, dengan penciptaan peluang pekerjaan perlahan dalam semua industri utama bulan lalu. - Reuters

155 dibaca
Berita Harian X