Khamis, 5 September 2019 | 10:46am
Beijing hari ini berkata Amerika Syarikat dan China akan menyambung semula rundingan perdagangan di Washington awal Oktober depan. - Foto hiasan
Beijing hari ini berkata Amerika Syarikat dan China akan menyambung semula rundingan perdagangan di Washington awal Oktober depan. - Foto hiasan

AS, China sambung rundingan di Washington Oktober

BEIJING: Beijing hari ini berkata Amerika Syarikat (AS) dan China akan menyambung semula rundingan perdagangan di Washington awal Oktober depan selepas tarif punitif baharu menimbulkan kebimbangan akan gagalnya rundingan yang sudah pun berlarutan itu.

Rundingan itu, yang pada sepatutnya berlangsung bulan ini, tiba selepas tarif dua hala baharu dikenakan pada 1 September.

Naib Perdana Menteri, Liu He bercakap dengan Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin di telefon pagi ini, demikian menurut kenyataan kementerian perdagangan, dan bersetuju untuk "bekerjasama dan mengambil tindakan praktikal untuk mewujudkan keadaan yang baik untuk rundingan".

Kenyataan itu berkata, kedua-dua pihak akan "menjaga komunikasi yang rapat" sebelum perbincangan diadakan.

Pegawai-pegawai tertinggi kali terakhir bersemuka di Shanghai pada Julai untuk perbincangan perdagangan, yang digambarkan sebagai "membina" tetapi berakhir tanpa pengumuman.

Presiden Donald Trump kemudiannya mengumumkan beliau akan menaikkan tarif ke atas lebih daripada separuh trilion dolar import dalam pusingan baharu langkah-langkah punitif, mendorong Beijing bertindak balas dengan tarif baharu ke atas barangan AS bernilai AS$75 bilion.

Minggu ini, China berkata ia membuat aduan terhadap AS dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), sehari selepas tarif baharu dikenakan Washington berkuat kuasa. - AFP

Berita Harian X