Khamis, 5 September 2019 | 8:15am

Kualiti aset sistem perbankan Malaysia kekal kukuh: RAM Ratings

KUALA LUMPUR: Kualiti aset sistem perbankan Malaysia kekal kukuh walaupun nisbah susut nilai pinjaman kasar (GIL) meningkat kepada 1.60 peratus pada akhir Julai 2019 daripada 1.48 peratus pada akhir Disember 2018, kata RAM Ratings Services Bhd.

Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan RAM, Wong Yin Ching, berkata kelemahan sebahagian besarnya berpunca daripada beberapa susut nilai tidak sekata daripada sektor pertanian dan pembuatan.

“Peningkatan susut nilai pinjaman adalah bersifat berasingan dan kami tidak meramalkan kemerosotan menyeluruh industri yang muncul daripada dua segmen itu. Nisbah GIL pada akhir 2019 mungkin tinggi sedikit daripada jangkaan awal kami pada 1.60 peratus tetapi perlu berada di bawah 1.70 peratus.

“Pada paras itu, kualiti aset industri perbankan domestik akan terus lebih baik berbanding dengan rakan serantau,” kata Wong, bersempena dengan pengeluaran Laporan Suku Tahunan Perbankan RAM - suku kedua (2Q) 2019.

Beliau turut mengambil perhatian bahawa keputusan kewangan suku kedua baru-baru ini menunjukkan purata nisbah kos kredit lapan bank utama kekal sederhana pada 27 mata asas (bps) pada separuh pertama (1H) tahun ini, malah selepas mengecualikan pelarasan one-off berkaitan Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS 9) oleh satu institusi.

Selain itu, beliau berkata bank mengekalkan penampan penyerapan kerugian yang sihat dengan purata nisbah liputan GIL pada 131 peratus (termasuk rizab pengawal selia) dan nisbah modal peringkat-1 ekuiti bersama pada 13.9 peratus.

Wong berkata, indikator keuntungan bagi majoriti lapan bank utama itu masih di bawah tekanan, dengan purata pracukai pulangan aset (ROA) pada 1.33 peratus dan pulangan ekuiti (ROE) pada 12.9 peratus pada 1H 2019 (1H 2018: masing-masing 1.39 peratus dan 13.7 peratus).

“Pertumbuhan pinjaman domestik menyusut kepada 3.9 peratus tahun ke tahun (y-o-y) manakala marjin faedah bersih (NIM) yang sudah pun mengecil semakin menyusut susulan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) pada Mei 2019.

“Pendapatan faedah bersih lebih rendah, bagaimanapun, disederhanakan oleh pelaburan dan pendapatan perdagangan lebih baik pada 1H 2019,” katanya.

Katanya, NIM mungkin mengalami satu lagi pukulan berikutan wujud kebarangkalian bahawa OPR akan diturunkan lagi lewat tahun ini, dengan mengambil kira unjuran perdagangan yang lemah akan meningkatkan risiko untuk pertumbuhan mencatatkan aliran menurun.

Permohonan pinjaman adalah kurang memberangsangkan, meningkat 0.8 peratus y-o-y pada Julai 2019 tetapi pada asas bulan ke bulan, permohonan pinjaman melantun semula sebanyak 19.5 peratus, terutamanya daripada isi rumah, katanya.

“Bagaimanapun, masih belum dapat dilihat sama ada momentum itu dapat dikekalkan, terutamanya disebabkan faktor luar yang tidak menentu,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X