Selasa, 27 Ogos 2019 | 6:46pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Beri PKS akses pembiayaan lebih meluas'

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia mampu menjadi lebih inklusif dan mapan jika perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberikan akses dan peluang pembiayaan yang lebih meluas, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, menerusi laporan Bank Dunia pada 2018, rakyat Malaysia mempunyai bakat keusahawanan yang tinggi serta berjaya menghasilkan beberapa syarikat pemula niaga berprestasi tinggi di Asia Tenggara seperti Grab dan Fave.

Bagaimanapun beliau berkata, kesukaran akses pembiayaan adalah salah satu daripada 10 faktor utama yang mengekang pertumbuhan PKS.

“Berdasarkan kaji selidik Pembiayaan PKS 2018 yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), faktor kesukaran akses pembiayaan yang disebutkan termasuk cagaran yang tidak mencukupi, kekurangan dokumentasi, aliran tunai terhad untuk memenuhi kewajiban pembayaran balik, proses permohonan yang rumit serta risiko tinggi yang terbabit dalam usaha perniagaan.

“Ini berpunca dari peraturan sedia ada dalam sistem perbankan tradisional yang mengakibatkan pendekatan konservatif terhadap risiko. Tanpa mengambil kira peringkat kitaran hayat PKS yang mungkin mempengaruhi pilihan pembiayaan yang tersedia, PKS menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan daripada sumber luaran.

“Akibatnya, lebih daripada 70 peratus keperluan pembiayaan PKS diperoleh secara dalaman seperti daripada ahli keluarga atau simpanan peribadi, manakala 30 peratus diperoleh dari institusi kewangan seperti bank dan institut kredit mikro,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Untuk Belanjawan 2020 - Meningkatkan Akses Pembiayaan Melalui Inovasi Kewangan.

Guan Eng berkata, walaupun peratusan pinjaman PKS kepada jumlah pinjaman perniagaan adalah sebanyak 50.2 peratus, peningkatan jumlah pinjaman yang dikeluarkan kepada PKS adalah kecil pada tiga peratus ataupun sebanyak RM127.4 bilion dalam tempoh Januari hingga Mei 2019 berbanding RM123.4 bilion tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, PKS bukan sahaja memerlukan dana untuk perbelanjaan operasi, tetapi juga ia diperlukan bagi mengembangkan perniagaan secara strategik sambil meningkatkan nilai tambah dalam suasana teknologi yang sering berubah.

Katanya, tujuan utama PKS memerlukan pembiayaan adalah untuk memenuhi keperluan modal kerja, pembelian dan penyewaan jentera, peningkatan atau pengemaskinian proses pengeluaran dan aktiviti kaji selidik.

“90 peratus pembiayaan yang diperoleh oleh PKS adalah daripada institusi kewangan, manakala baki 10 peratus adalah daripada pasaran modal.” katanya.

Lantaran itu, Guan Eng berkata, kerajaan mempunyai peranan untuk membantu mempelbagaikan ekosistem pembiayaan, terutama bagi PKS.

“Pembiayaan melalui pasaran modal dan platform inovatif seperti Pasaran LEAP, pendanaan masyarakat berbentuk ekuiti atau ‘equity crowdfunding’ (ECF), pembiayaan antara rakan setara atau ‘peer-to-peer’ (P2P), ekuiti persendirian dan modal teroka perlu diterokai dengan lebih mendalam sebagai salah satu sumber pembiayaan bagi PKS dan pemula niaga,” katanya.

Berita Harian X