Rabu, 21 Ogos 2019 | 7:17pm
GABENOR Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Khidmat Nasihat Pembiayaan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), di Sasana Kijang. - Foto Nurul Shafina Jemenon

PKS tempatan terus terima pembiayaan

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia terus mendapat sokongan pembiayaan dengan pengeluaran pembiayaan yang lebih tinggi dicatatkan pada separuh pertama 2019 berjumlah RM152 bilion berbanding RM149 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata sektor kewangan terus memainkan peranan penting menyokong PKS dan isi rumah, terutama dalam menghadapi persekitaran kewangan dan ekonomi yang mencabar.

Beliau berkata, pembiayaan sektor kewangan, secara keseluruhannya konsisten dengan kadar pertumbuhan ekonomi semasa sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2019.

"Pembiayaan bersih pada suku kedua 2019 berkembang sebanyak 5.6 peratus pada asas tahunan.

"Pengeluaran pinjaman yang berterusan kepada semua segmen ekonomi terus menyokong kegiatan ekonomi negara," katanya pada pelancaran penubuhan Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) di Kuala Lumpur, semalam.

Nor Shamsiah berkata, institusi kewangan terus menyokong pemilikan rumah, dengan kelulusan pinjaman perumahan baharu bernilai RM78.5 bilion bagi tempoh enam bulan tahun ini, yang memanfaatkan lebih 180,000 peminjam.

Beliau berkata, sistem kewangan yang mapan dan kukuh terus menjadi kekuatan utama ekonomi Malaysia, sekali gus membolehkan institusi kewangan memainkan peranan menyokong segmen PKS dan isi rumah melalui pemberian pembiayaan di pelbagai fasa perniagaan.

Katanya, kadar kelulusan pinjaman yang stabil membuktikan institusi kewangan terus menyediakan pembiayaan kepada perniagaan yang berdaya maju dan peminjam yang layak, walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

"Ia memangkin institusi kewangan menjadi lebih proaktif, dinamik dan inovatif dalam memberikan perkhidmatan kewangan, terutama bagi membantu pelanggan yang terjejas oleh keadaan ekonomi semasa," katanya.

Nor Shamsiah berkata, pemberian pinjaman atau pembiayaan perlu dilaksanakan dengan berhemah dan bertanggungjawab untuk memastikan peminjam tidak meminjam melebihi kemampuan mereka sehingga boleh mengakibatkan sesuatu perniagaan atau seseorang individu menghadapi kesulitan dan bebanan kewangan pada masa depan.

Justeru, beliau berkata PKS dan bakal peminjam harus bertanggungjawab menilai tahap kemampuan mereka, bagi memenuhi komitmen kewangan.

"Sebagai contoh, sejak Portal Rumahku dilancarkan awal tahun ini, seramai 12,223 individu telah menamatkan program pendidikan kewangan.

"Daripada jumlah ini, seramai 1,628 secara sukarela tidak meneruskan hasrat memohon pembiayaan perumahan apabila menyedari mereka tidak mempunyai kemampuan dan penampan kewangan yang mencukupi pada masa ini," katanya.

Berita Harian X