Rabu, 21 Ogos 2019 | 6:55pm
GABENOR Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus (tiga dari kiri) bergambar beramai bersama Pengerusi Persatuan Bank Bank Malaysia (ABM), Datuk Abdul Farid Alias (kiri), Pengerusi CGC, Datuk Agil Natt, Pengerusi AKPK, Anuar Mohd Hassan, Presiden Persatuan Institut Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Adissadikin Ali serta Pengerusi Persatuan Institut Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM), Aria Putera Ismail (kanan) selepas Majlis Pelancaran Khidmat Nasihat Pembiayaan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), di Sasana Kijang. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Pemohon gagal dapat pinjaman berpeluang perkemas kelayakan - BNM

KUALA LUMPUR: Pemohon yang tidak berjaya mendapat pinjaman kini boleh memperkemaskan kelayakan bagi mendapatkan pembiayaan menerusi penubuhan Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP).

Selain itu juga, pusat khidmat nasihat sehenti itu ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta institusi kewangan.

Mengulas perkembangan itu, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata khidmat nasihat sehenti itu ditawarkan kepada pemohon pembiayaan yang tidak berjaya mendapat pinjaman.

Beliau berkata, MyKNP menawarkan khidmat nasihat, mudahcara dan langkah yang boleh diambil bagi mempertingkatkan kelayakan untuk permohonan pembiayaan serta membuka pilihan pembiayaan alternatif yang lebih luas dan bersesuaian.

Selain itu, katanya, ia juga akan membantu pemohon pembiayaan syarikat kecil dan sederhana (PKS) dan pembeli rumah melalui tiga langkah.

"Pertama, membantu pemohon memahami faktor permohonan mereka ditolak.

"Kedua, membantu pemohon mendapatkan nasihat berkenaan cara untuk meningkatkan kelayakan bagi mendapatkan pembiayaan pada masa akan datang, seperti menyimpan rekod pengurusan kewangan yang lengkap.

"Ketiga, membantu pemohon mendapatkan penyelesaian alternatif," katanya pada pelancaran penubuhan MyKNP di sini, hari ini.

Nor Shamsiah berharap inisiatif pusat itu dapat meningkatkan kesedaran dan kredibiliti pengguna kewangan dengan merapatkan jurang maklumat yang tidak simetri antara pengguna dan institusi kewangan.

Beliau berkata, inisiatif itu juga turut melengkapi usaha yang diambil BNM untuk menggalakkan sektor kewangan yang kukuh, progresif dan terangkum.

"Walaupun segmen sasaran berbeza, BNM ingin menekankan pentingnya institusi kewangan, CGC dan AKPK bekerjasama, terutamanya dalam memperkasakan ia sebagai 'pusat sehenti’ di masa depan," katanya.

Nor Shamsiah berkata, bagi menyokong pembangunan PKS, bank pusat telah menerajui usaha pembinaan ekosistem pembiayaan yang holistik untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan di samping menggalakkan budaya kredit yang kukuh.

Katanya, antara inisiatif yang diperkenalkan oleh BNM termasuk Skim Pembiayaan Mikro, Skim Jaminan Kredit oleh CGC, Tabung BNM untuk PKS berjumlah RM9.1 bilion, fleksibiliti selama dua tahun terhadap penyusunan dan penjadualan semula pembiayaan PKS dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil bagi PKS yang berdaya maju.

"Institusi kewangan disaran agar terus proaktif dalam melaksanakan penstrukturan semula dan penjadualan semula pembiayaan.

"Bagi pembeli rumah pula, peruntukan dana khas sebanyak RM1 bilion yang telah dilancarkan pada awal Januari tahun ini akan membantu pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah membiaya pembelian rumah pertama," katanya.

Berita Harian X