Rabu, 21 Ogos 2019 | 6:40pm
GABENOR Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Khidmat Nasihat Pembiayaan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), di Sasana Kijang. - Foto Nurul Shafina Jemenon
GABENOR Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Khidmat Nasihat Pembiayaan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), di Sasana Kijang. - Foto Nurul Shafina Jemenon

BNM lancar Khidmat Nasihat Pembiayaan

KUALA LUMPUR: Pemohon yang tidak berjaya mendapat pinjaman kini boleh memperkemaskan kelayakan bagi mendapatkan pembiayaan menerusi penubuhan Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP).

Selain itu juga, pusat khidmat nasihat sehenti itu ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta institusi kewangan.

Mengulas perkembangan itu, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata khidmat nasihat sehenti itu ditawarkan kepada pemohon pembiayaan yang tidak berjaya mendapat pinjaman.

Beliau berkata, MyKNP menawarkan khidmat nasihat, mudah cara dan langkah yang boleh diambil bagi mempertingkatkan kelayakan untuk permohonan pembiayaan serta membuka pilihan pembiayaan alternatif yang lebih luas dan bersesuaian.

Katanya, MyKNP akan membantu pemohon pembiayaan syarikat kecil dan sederhana (PKS) dan pembeli rumah melalui tiga langkah.

"Pertama, membantu pemohon memahami faktor permohonan mereka ditolak.

"Kedua, membantu pemohon mendapatkan nasihat berkenaan cara untuk meningkatkan kelayakan bagi mendapatkan pembiayaan pada masa akan datang, seperti menyimpan rekod pengurusan kewangan yang lengkap.

"Ketiga, membantu pemohon mendapatkan penyelesaian alternatif," katanya pada pelancaran penubuhan Khidmat Nasihat Pembiayaan di sini, hari ini.

Nor Shamsiah berharap inisiatif Khidmat Nasihat Pembiayaan itu dapat meningkatkan kesedaran dan kredibiliti pengguna kewangan dengan merapatkan jurang maklumat yang tidak simetri antara pengguna dan institusi kewangan.

Beliau berkata, inisiatif itu juga turut melengkapi usaha yang diambil BNM untuk menggalakkan sektor kewangan yang kukuh, progresif dan terangkum.

"Walaupun segmen sasaran berbeza, BNM ingin menekankan pentingnya institusi kewangan, CGC dan AKPK bekerjasama, terutamanya dalam memperkasakan Khidmat Nasihat Pembiayaan sebagai 'pusat sehenti’ di masa depan," katanya.

Nor Shamsiah berkata, bagi menyokong pembangunan PKS, bank pusat telah menerajui usaha pembinaan ekosistem pembiayaan yang holistik untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan di samping menggalakkan budaya kredit yang kukuh.

Katanya, antara inisiatif yang diperkenalkan oleh BNM termasuk Skim Pembiayaan Mikro, Skim Jaminan Kredit oleh CGC, Tabung BNM untuk PKS berjumlah RM9.1 bilion, fleksibiliti selama dua tahun terhadap penyusunan dan penjadualan semula pembiayaan PKS dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil bagi PKS yang berdaya maju.

"Institusi kewangan diseru agar terus proaktif dalam melaksanakan penstrukturan semula dan penjadualan semula pembiayaan.

"Bagi pembeli rumah pula, peruntukan dana khas sebanyak RM1 bilion yang telah dilancarkan pada awal Januari tahun ini akan membantu pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah membiayai pembelian rumah pertama," katanya.

Berita Harian X