Isnin, 19 Ogos 2019 | 7:24pm

Fitch naikkan unjuran KDNK Malaysia

KUALA LUMPUR: Fitch Ratings menaikkan unjuran pertumbuhan 2019 bagi Malaysia kepada 4.6 peratus berbanding 4.2 peratus sebelum ini, selepas ekonomi negara ini mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh daripada dijangkakan pada separuh pertama.

Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua 2019 sebanyak 4.9 peratus pada Jumaat, menjadikan ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara itu satu-satunya di rantau ini yang menunjukkan beberapa pecutan dari suku pertama.

“Semakan ini mencerminkan kadar pertumbuhan purata yang lebih tinggi daripada jangkaan 4.7 peratus dari tahun ke tahun dalam separuh pertama 2019, serta pandangan kami bahawa penggunaan swasta akan terus kukuh dan penurunan pertumbuhan pelaburan sudah mencapai paras rendahnya,” kata Fitch dalam satu kenyataan.

Fitch berkata, penggunaan swasta akan terus menjadi enjin utama pertumbuhan, disokong oleh dasar kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna dan kuasa beli.

Pelaksanaan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga meningkatkan sentimen untuk iklim pelaburan yang lebih baik di Malaysia, terutamanya dengan usaha negara ini untuk menggandakan pelaburan asing China dalam sektor perkilangan, kata firma penarafan kredit itu.

Bagaimanapun, eksport yang meningkat sedikit pada separuh pertama berikutan penguncupan import, dijangka memberi kesan terhadap prestasi ekonomi pada separuh kedua tahun ini dan akan mengurangkan perbelanjaan awam.

“Sektor luaran dijangka kekal dalam tekanan yang kuat pada sukuan mendatang, dengan pemulihan yang bermakna untuk pertumbuhan eksport tidak mungkin, kerana apa-apa faedah daripada penempatan semula ke Malaysia mungkin mengambil masa,” kata Fitch.

BNM pada Jumaat lalu mengekalkan unjuran bagi 2019 pada 4.3 hingga 4.8 peratus, tetapi berkata peningkatan dalam ketegangan perdagangan global boleh mengorbankan 0.1 mata peratusan daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Fitch mengesahkan penarafan A- bagi Malaysia pada Julai dengan tinjauan stabil.

-Reuters

Berita Harian X