Isnin, 19 Ogos 2019 | 12:12pm
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) bersama Ketua Eksekutif (CEO) Apple Inc, Tim Cook. - Foto AFP

CEO Apple ingatkan Trump mengenai tarif China, persaingan Samsung

WASHINGTON/NEW YORK: Presiden Donald Trump pada Ahad berkata, bahawa beliau telah bercakap dengan Ketua Eksekutif (CEO) Apple Inc, Tim Cook, mengenai impak tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap import China serta persaingan dari syarikat Korea Selatan, Samsung Electronics Co Ltd.

  

Trump berkata, Cook "memberi hujah yang baik" bahawa tarif boleh menjejaskan Apple, memandangkan produk Samsung tidak akan dikenakan tarif yang sama.

Tarif terhadap tambahan barangan China yang bernilai AS$300 bilion (RM1.25 trilion), termasuk barangan elektronik pengguna, dijangka berkuatkuasa dalam dua peringkat pada 1 September dan 15 Disember.

  

Sebaliknya, AS dan Korea Selatan telah menandatatangani perjanjian perdagangan pada September lalu.

"Saya rasa dia memberikan hujah yang sangat menarik, maka saya memikirkannya," kata Trump mengenai Cook ketika bercakap dengan wartawan di lapangan terbang New Jersey.

  

Niaga hadapan saham AS meningkat ketika dagangan dibuka pada hari Ahad selepas komen Trump.

Selain komennya mengenai Apple, pada awal hari itu Trump berkata di Twitter bahawa pentadbirannya "berunding sangat baik dengan China."

Produk MacBook serta iPhone keluaran Apple tidak akan dikenakan tarif tambahan sehingga 15 Disember, tetapi sebahagian produk lain syarikat, termasuk AirPods, Apple Watch dan HomePod, akan tertakluk kepada levi pada 1 September.

  

Apple tidak dapat dihubungi serta merta untuk mendapatkan komen di luar waktu perniagaan biasa. - Reuters

Berita Harian X