Khamis, 15 Ogos 2019 | 11:31am
ANAK tiri mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz. - Foto Zulfadhli Zulkifli
ANAK tiri mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Pendakwa raya AS jual rumah mewah dikaitkan dengan Riza Aziz

KUALA LUMPUR: Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha menjual tiga kediaman mewah yang dikaitkan dengan Riza Aziz, anak tiri mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, demikian menurut dokumen mahkamah, usaha terbaru untuk mendapatkan semula wang yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB ).

Pihak berkuasa Malaysia dan AS mendakwa bahawa kira-kira AS$4.5 bilion (RM18.87 bilion) disalahgunakan daripada 1MDB, dana negara yang diasaskan Najib.

Sejak 2016, Jabatan Kehakiman AS memfailkan tindakan undang-undang perlucuthakan kira-kira AS$1.7 bilion dalam aset yang didakwa dibeli dengan wang dicuri daripada 1MDB, termasuk jet peribadi, hartanah mewah dan barangan kemas.

AS sudah mengembalikan ke Malaysia kira-kira AS$200 juta yang diselamatkan daripada penjualan aset yang dirampas.

Rabu lalu, pendakwa raya AS dan syarikat induk tiga hartanah mewah itu memohon mahkamah California untuk menarik keluar penggantungan prosiding pelucuthakan supaya harta itu boleh dijual, demikian menurut dokumen mahkamah.

Hartanah itu termasuk sebuah kediaman bandar di London bernilai AS$27.97 juta, kediaman bernilai AS$17.5 juta di Beverly Hills, dan kondominium AS$35.5 juta di New York yang didakwa dibeli Riza menggunakan dana yang dialihkan daripada 1MDB.

Pendakwa raya berkata, Riza membeli hartanah daripada Low Taek Jho, yang menghadapi tuduhan jenayah di Malaysia dan AS di atas peranannya yang dianggap memainkan peranan utama dalam kes 1MDB.

Low, juga dikenali sebagai Jho Low, secara konsisten menafikan salah laku dan tidak diketahui lokasi beliau ketika ini.

Riza adalah pengasas bersama firma pengeluaran Hollywood Red Granite Pictures, yang menerbitkan filem "The Wolf of Wall Street". Pada 2017, Red Granite membayar kerajaan AS$ 60 juta untuk menyelesaikan saman pelucuthakan berkaitan tiga filem yang didakwa dibiayai dengan dana 1MDB.

Bulan lalu, Riza mengaku tidak bersalah di Malaysia atas lima tuduhan pengubahan wang haram, membabitkan kira-kira AS$248 juta dalam dana 1MDB.

Pihak berkuasa di sekurang-kurangnya enam negara sedang menyiasat kes berkaitan pengubahan wang haram dan rasuah dikaitkan dengan 1MDB, yang ditubuhkan Najib pada 2009.

Najib, yang hilangan kuasa pada pilihan raya umum tahun lalu, menghadapi 42 tuduhan jenayah berkaitan kerugian di 1MDB dan entiti kerajaan lain. Beliau secara konsisten menafikan salah laku. - Reuters

Berita Harian X