Khamis, 8 Ogos 2019 | 6:56pm
Jeneral (B), Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (kanan) memberi penerangan kepada Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan (dua dari kanan) selepas Majlis Pelancaran Program ICW 2020 dan Asean Super 8, di PWTC. Turut kelihatan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid (kiri), Pengarah Urusan Kumpulan (ASEAN BUSINESS) serta Naib Presiden Kanan UBM Informa Asia, M Gandi. NSTP/Mustaffa Kamal.

ICW 2020 disasar jana dagangan RM2 bilion

KUALA LUMPUR: Minggu Pembinaan Antarabangsa 2020 (ICW 2020) yang dijadualkan pada Jun tahun depan dijangka mampu menjana potensi nilai dagangan berjumlah RM2 bilion.

Acara tahunan yang diadakan sejak 1998 itu diadakan bermula 23 hingga 25 Jun 2020 dan dianjurkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama United Business Media (UBM).

Pengarah Urusan Kumpulan (Perniagaan ASEAN) dan Naib Presiden Kanan UBM Informa Asia, M Gandhi, berkata ICW 2020 akan diadakan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Katanya, ia dijangka dihadiri kira-kira 27,000 pengunjung perdagangan dan profesional.

"Acara bertaraf dunia itu akan menjadi hos kepada 400 pempamer dan 500 penyertaan syarikat dari 20 negara yang terbabit dalam industri pembinaan, kejuruteraan, tenaga, jentera berat dan peralatan serta keselamatan," katanya pada sidang media ICW 2020 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan; Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid dan Pengerusi Bersama UBM Informa Markets, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

Sementara itu, Syed Omar Sharifuddin, berkata ICW adalah satu platform dinamik untuk memudahkan transformasi industri pembinaan.

"Meskipun industri pembinaan tempatan menyaksikan pertumbuhan ketara pada tahun sebelum ini, ia masih berdepan dengan cabaran tertentu. 

"Industri pembinaan tempatan perlu menerapkan revolusi teknologi baharu supaya mereka dapat meningkatkan produktiviti serta prestasi dalam semua bidang."Jika mereka gagal untuk berubah, ia akan ketinggalan," katanya. 

ICW mencatatkan pertumbuhan luar biasa tahun ke tahun serta diharapkan menjadi pameran dan persidangan perdagangan pembinaan terbesar di Asia Tenggara.

Jumlah pengunjung dan pelawat mengalami pertumbuhan memberangsangkan tahun ke tahun, dengan pertumbuhan signifikan sejak lima tahun lalu daripada 10,498 pada 2015, kepada kira-kira 23,500 pada 2019.

Penganjuran ICW 2020 bertemakan "Embracing Construction Revolution".

Berita Harian X