Khamis, 8 Ogos 2019 | 5:11pm
People’s Bank of China.
People’s Bank of China.

Bank pusat China tetap aras urus niaga harian yuan

HONG KONG: Yuan meningkat semula selepas bank pusat China menetapkan aras urus niaga harian mata wangnya itu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada kadar lebih tinggi daripada jangkaan.

People’s Bank of China (PBOC) menetapkan kadar rujukan harian yuan pada 7.0039 sedolar AS, sedikit rendah berbanding 7.0 iaitu kadar yang ditetapkan sejak 2008.

Bagaimanapun ia adalah lebih tinggi berbanding jangkaan penganalisis dan peniaga yang umumnya menganggar ia akan ditetapkan pada 7.0156 sedolar, demikian mengikut purata jangkaan yang dikumpul Bloomberg dalam satu kaji selidik.

Nilai yuan mengukuh 0.2 peratus kepada 7.0466 sedolar pada tengahari tadi.

“China mahu menghalang suasana panik,” kata Gao Qi, Ahli Strategi di Scotiabank.

“PBOC akan terus menghantar isyarat untuk menstabilkan yuan dalam jangka terdekat, ia berkemungkinan akan melaksanakan penetapan lebih tinggi daripada jangkaan, menjual kertas hutang di Hong Kong dan mungkin juga merangsang kadar niaga hadapan yuan di pasaran luar pesisir.”

Penetapan kadar tukaran harian oleh China, dipantau rapat di peringkat global minggu ini selepas kadar rujukan yang lemah pada Isnin menyaksikan penurunan ketara nilai yuan sejak 2015, justeru menimbulkan kebimbangan tercetus perang mata wang.

Meskipun, bank pusatnya telah mengambil langkah menghalang kejatuhan yuan, termasuk jaminan kepada syarikat asing bahawa nilai mata wangnya tidak akan susut mendadak, namun peniaga masih gusar mengenai perang dagangan AS-China yang semakin memuncak.

Pentadbiran Donald Trump minggu ini melabelkan China sebagai pemanipulasi mata wang, gelaran formal yang mungkin mencetuskan tindak balas dari negara itu, dan sesuatu yang disangkal oleh PBOC.

Kebimbangan mengenai kesan perang dagang ke atas ekonomi global semakin meningkat, dengan beberapa bank pusat di New Zealand, India dan Thailand, masing-masing bertindak menurunkan kadar faedah pada Rabu.

Harga saham kembali meningkat, dengan Shanghai Composite Index menokok 0.8 peratus daripada paras terendahnya sejak Februari.

Penetapan kadar oleh China disiarkan setiap hari dagangan pada jam 9:15 pagi, selepas sekumpulan 14 institusi kewangan menghantar kadar masing-masing.

Yuan kemudiannya dibenarkan bergerak naik atau turun sebanyak 2.0 peratus daripada kadar itu.

Kadar itu dikira dengan menggunakan formula yang mengambil kira faktor-faktor seperti penutup 4.30 petang pada hari sebelumnya, iaitu pergerakan kadar tukaran yuan berbanding sekumpulan mata wang dan perubahan dalam kadar tukarannya dengan mata wang utama lain.

Mekanisme itu telah digunakan untuk mengurangkan ketidaktentuan kadar tukaran sejak China menamatkan tambatan yuan terhadap dolar AS pada 2005.

Sehingga 2015, peniaga tidak dapat menawarkan harga yang berlainan daripada yang ditetapkan pada kadar yang lebih daripada julat yang dibenarkan.

Kali terakhir yuan melaksanakannya pada Februari 2015, apabila ia ditutup 1.99% lebih lemah daripada kadar rujukan.

Sistem perdagangan itu dinaik taraf selepas kejatuhan nilai mengejut pada bulan Ogos tahun itu.

  

Menilai lebih lanjut mengenai bagaimana China mempengaruhi penetapan yuan pada hari Khamis "seolah-olah menguatkan mesej PBOC bahawa mereka mahukan kestabilan berbanding turun naik," kata Fiona Lim, penganalisis kanan pertukaran asing di Malayan Banking Bhd. - Bloomberg

Berita Harian X