Selasa, 6 Ogos 2019 | 3:47pm
Ketua Pegawai Eksekutif Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB), Datuk Zulkefli Sharif. NSTP/Zunnur Al Shafiq.

Malaysia destinasi tumpuan penganjuran acara

KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai destinasi utama penganjuran acara perniagaan di peringkat global seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB), Datuk Zulkefli Sharif, berkata pada tahun ini, pihaknya mensasarkan peningkatan sebanyak 10 peratus daripada sumbangan nilai kesan ekonomi yang dianggarkan RM1.58 bilion, tahun lalu.

"MyCEB merekodkan prestasi mengagumkan tahun lalu menerusi penganjuran 152 acara perniagaan antarabangsa dan kami kini berada di landasan untuk mencapai peningkatan 10 peratus nilai ekonomi tahun ini.

"Pada separuh pertama tahun ini, MyCEB sudah memperoleh 75 penganjuran acara merangkumi persidangan antarabangsa, insentif kumpulan dan pameran perdagangan dengan nilai kesan ekonomi dianggarkan sebanyak RM978.5 juta," katanya pada sidang media pra-pelancaran Siri Kuasa dan Tenaga '5 in 1' di sini, hari ini.

Siri itu merangkumi penganjuran POWERGEN Asia, Minggu Utiliti Asian, DISTRIBUTECH Asia, SolarVision dan 'Energy Capital Leaders Asia'.

Hadir sama ialah Pengarah Portfolio Asia, Clarion Energy, Nick Rastall.

Clarion Energy adalah sebahagian daripada Clarion Events Group, salah satu syarikat penganjuran acara terbesar dunia merangkumi sektor minyak, gas, kuasa dan tenaga.

Acara berkenaan dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 September ini bertempat di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Sementara itu, Rastall berkata, penganjuran Siri Kuasa dan Tenaga '5 in 1' akan menghimpunkan peserta utama dalam sektor kuasa dan tenaga merangkumi keseluruhan rantaian nilai.

Berita Harian X