X
Isnin, 5 Ogos 2019 | 1:37pm
Teresa menyampaikan ucapan perasmian pada persidangan antarabangsa 'Buluh Sebagai Pemacu Pertumbuhan Ekonomi - Perhutanan Melangkaui Perkayuan' di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Teresa menyampaikan ucapan perasmian pada persidangan antarabangsa 'Buluh Sebagai Pemacu Pertumbuhan Ekonomi - Perhutanan Melangkaui Perkayuan' di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

Komuniti pertanian buluh diperkenal dalam RMKe-12

KUALA LUMPUR: Kementerian Industri Utama merancang untuk memperkenalkan program komuniti pertanian buluh dalam rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Menterinya, Teresa Kok, berkata program itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk membangunkan industri buluh menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara seperti komoditi lain.

"Perkara ini bagaimanapun masih baharu kerana ia masih di dalam peringkat perbincangan. Lokasi di mana ia akan dilaksanakan juga masih belum diputuskan.

"Kita sedang mengenalpasti lokasi-lokasi berpotensi untuk melaksanakan program ini antaranya di Pahang dan Perak.

"Saya juga merancang untuk mengadakan kunjungan bertemu dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri yang negerinya kaya dengan tanaman buluh dan berharap mereka akan berminat untuk bekerjasama terbabit dalam penanaman buluh ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan persidangan antarabangsa 'Buluh Sebagai Pemacu Pertumbuhan Ekonomi - Perhutanan Melangkaui Perkayuan' di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Tan Yew Chong; Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Wong Tack dan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan, Prof Dr Noor Azizi Ismail.

Mengulas lanjut, Kok berkata kementerian akan memperuntukkan dana khusus bagi tujuan penyelidikan berkaitan buluh dalam Bajet 2020 nanti.

Katanya, dana ini akan disalurkan kepada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), UMK dan juga peserta industri bagi menjalankan penyelidikan mengenai potensi buluh.

Sementara itu, Noor Azizi berkata industri buluh di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara jiran biarpun menawarkan potensi besar kepada ekonomi negara.

Katanya, ia disebabkan ramai tidak menyedari potensinya dibandingkan di Indonesia dan Filipina yang sudah mengeluarkan produk hiliran berkualiti daripada buluh bernilai mencecah jutaan ringgit.

"Menyedari potensi buluh ini, UMK berhasrat untuk meningkatkan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk buluh.

"Kita mahu menjadikan UMK sebagai kilang pengajar yang bukan hanya menghasilkan kepakaran tetapi juga usahawan yang mampu mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Berita Harian X