Khamis, 1 Ogos 2019 | 9:37pm
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Idham Nawawi. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Celcom tawar perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi untuk kediaman

PETALING JAYA: Celcom Axiata Bhd mengumumkan tawaran perkhidmatan Internet gentian berkelajuan tinggi, di samping perkhidmatan rangkaian tanpa wayar sedia adanya, di seluruh Malaysia.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, pelancaran perkhidmatan itu di seluruh negara bertujuan mewujudkan sambungan Internet berkelajuan tinggi melalui gentian serta teknologi tanpa wayar, bagi memperkasakan lagi gaya hidup digital masyarakat bandar dan luar bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Idham Nawawi, berkata Celcom Home Fibre adalah perkhidmatan internet kediaman berkelajuan tinggi yang memberi pelanggan pengalaman digital yang optimum di rumah mereka sendiri melalui teknologi gentian optik dan tanpa wayar yang begitu lancar.

“Tawaran kami menyediakan kelajuan yang bersesuaian bagi sebarang tujuan penggunaan digital seperti penstriman video 4K, panggilan video, permainan dan banyak lagi.

“Kami telah dinobatkan oleh Opensignal sebagai nombor satu di Malaysia bagi Ketersediaan Rangkaian 4G dan Pengalaman Kelajuan Muat Naik baru-baru ini.

“Oleh itu, liputan LTE kami dengan 9,000 menara pemancar yang menjangkau 94 peratus (%) populasi rangkaian di seluruh negara, dan melebihi 98% di beberapa negeri, akan dapat melengkapi perkhidmatan gentian optik yang terbaru ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Dengan menggunakan teknologi gentian optik, Celcom Home Fibre menawarkan pelanggan di seluruh negara, keupayaan Internet berkelajuan tinggi tanpa had sehingga 100Mbps dengan bayaran RM120 sebulan serta 30Mbps pada RM80 sebulan.

Perkhidmatan itu boleh didapati di semua cawangan Celcom Bluecube dan kedai bertauliah Celcom.

Berita Harian X