Rabu, 31 Julai 2019 | 5:07pm

Malaysia pengeksport terbesar sawit ke India tahun ini

MUMBAI: Malaysia dijangka menggantikan Indonesia sebagai pembekal minyak sawit utama ke India tahun ini.

Ia berikutan tindakan New Delhi yang mengenakan cukai import lebih rendah kepada minyak sawit bertapis dari Malaysia, yang memberikan Kuala Lumpur kelebihan berbanding Jakarta.

Peningkatan penghantaran minyak sawit bertapis akan membantu syarikat penapis minyak Malaysia dan mengurangkan simpanan di negara pengeluar kedua terbesar dunia itu.

Bagaimanapun, ia menjejaskan syarikat penapis minyak India yang mengimport minyak sawit mentah.

India ketika ini adalah pengimport minyak sawit terbesar di dunia.

Pada Januari, New Delhi mengurangkan duti import ke atas penghantaran minyak sawit daripada 54 peratus kepada 50 peratus.

Namun, duti ke atas Malaysia adalah 45 peratus berikutan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif yang ditandatangani kedua-dua negara itu, hampir sedekad lalu.

Kelebihan duti itu membantu Malaysia meningkatkan bahagian pasarannya dalam import minyak sawit India kepada 52 peratus untuk separuh pertama 2019 berbanding 30 peratus pada 2018, demikian menurut Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh dalam satu persidangan di sini.

“Kami menjangkakan bahagian pasaran ini kekal sama pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Menurut data MPOB, import minyak sawit India dari Malaysia melonjak kepada 2.59 juta tan pada separuh pertama, berbanding dengan 1.39 juta tan bagi tempoh sama tahun lalu.

Indonesia meminta pertimbangan India untuk mengurangkan cukai import ke atas minyak sawit kepada 45 peratus memandangkan perkongsian pasaran Jakarta di India untuk pertama kali jatuh berbanding Malaysia.

-Reuters

Berita Harian X