Rabu, 24 Julai 2019 | 3:01pm

Morgan Stanley penasihat bebas Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd melantik Morgan Stanley untuk mencari pilihan strategik kepada Malaysia Airlines Bhd, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Bank pelaburan itu dibawa masuk sebagai penasihat bebas untuk pelan pemulihan syarikat penerbangan itu, kata Md Farid di Parlimen, sekali gus mengesahkan laporan Bloomberg News.

Kerajaan juga sanggup untuk menjadi pemegang saham minoriti di dalam Malaysia Airlines, katanya, sekali gus memberi petunjuk penjualan kepentingan adalah antara pilihan yang dipertimbangkan.

Dana pelaburan kerajaan itu adalah pemegang saham tunggal Malaysia Airlines selepas menjadikannya syarikat persendirian pada 2014 susulan dua insiden tragik.

Insiden pertama adalah pesawatnya hilang di Lautan Hindi, manakala sebuah lagi ditembak jatuh di Ukraine.

Walaupun pendapatan syarikat penerbangan itu meningkat sejak tahun lalu, lebihan kapasiti di Asia dan ketidaktentuan luaran termasuk perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka terus menjejaskan pertumbuhannya.

Pihak yang mengemukakan tawaran kepada Malaysia Airlines perlu mempunyai kepakaran dalam industri dengan kedudukan kewangan yang mantap, kata Md Farid.

Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap penjenamaan syarikat penerbangan itu dan tidak membenarkan 14,000 kakitangan tempatannya diberhentikan, tambahnya.

Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia Airlines berdepan kemungkinan ditutup dalam usaha kerajaan melakukan penjimatan, beliau turut menekankan mahu melihat syarikat penerbangan itu pulih serta mengekalkan ‘Malaysia’ pada namanya.

Kerajaan sedang mengkaji empat cadangan yang diterima bagi syarikat penerbangan itu, kebanyakannya daripada pelabur tempatan, kata Perdana Menteri awal bulan ini. - Bloomberg

Berita Harian X