Selasa, 23 Julai 2019 | 4:27pm
Khazanah Nasional Bhd melantik Morgan Stanley untuk meneroka pilihan strategik bagi Malaysia Airlines. - Foto hiasan

Morgan Stanley dilantik cari pilihan untuk Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd melantik Morgan Stanley untuk meneroka pilihan strategik bagi Malaysia Airlines Bhd, demikian menurut sumber yang rapat dengan perkara itu.

Sumber berkata, bank pelaburan itu akan bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian bagi syarikat penerbangan itu, termasuk penjualan saham yang berpotensi.

Khazanah, sayap pelaburan kerajaan dan pemegang saham tunggal syarikat penerbangan itu, berhasrat untuk memuktamadkan perjanjian menjelang akhir tahun ini, kata sumber lain.

Sumber itu berkata, perbincangan kini sedang berlangsung dan butiran termasuk tempoh masa boleh berubah.

Khazanah kini dalam usaha menyelamatkan Malaysia Airlines, termasuk menilai semua pilihan strategik untuk memulihkan prestasinya, kata dana kerajaan itu dalam satu kenyataan maklum balas kepada Bloomberg News.

Sementara itu, wakil bagi Malaysia Airlines dan Morgan Stanley enggan mengulas berhubung perkara itu.

Malaysia Airlines berusaha untuk kembali mencatat prestasi kukuh sejak Khazanah menswastakan syarikat penerbangan nasional itu pada 2014, susulan dua insiden iaitu sebuah pesawatnya hilang di Lautan Hindi dan satu lagi ditembak jatuh di udara Ukraine.

Walaupun pendapatan firma itu meningkat sejak tahun lalu, lebihan kapasiti di Asia dan ketidaktentuan faktor luaran termasuk perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka terus menghalang pertumbuhan, kata syarikat itu bulan lalu.

Terdahulu, Khazanah pada Februari lalu meminta Malaysia Airlines menyediakan satu pelan strategik untuk membantunya bersaing dalam industri penerbangan dan meraih pulangan yang lebih baik selepas gagal mencatatkan keuntungan dalam dua tempoh yang ditetapkan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bulan ini berkata kerajaan sedang mengkaji empat cadangan yang diterima untuk syarikat penerbangan itu daripada pelabur tempatan.

Walaupun Dr Mahathir berkata syarikat penerbangan itu berdepan kemungkinan untuk ditutup kerana kerajaan kini dalam proses menjimatkan perbelanjaan, beliau turut menekankan untuk memulihkan syarikat itu dan mengekalkan Malaysia sebagai nama syarikat.

Beliau juga mengakui, proses pemulihan syarikat tanpa memberhentikan kakitangan adalah mustahil. - Bloomberg

Berita Harian X