Selasa, 23 Julai 2019 | 3:37pm
Chew Leong pada taklimat media berhubung tinjauan ekonomi Malaysia bagi separuh kedua 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Chew Leong pada taklimat media berhubung tinjauan ekonomi Malaysia bagi separuh kedua 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

'Perbelanjaan infrastruktur elak perangkap kemelesetan'

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu merancakkan perbelanjaan infrastruktur, menyokong dan merangsang permintaan domestik di samping memastikan perbelanjaan swasta kekal sihat bagi memastikan negara tidak terperangkap sekiranya kemelesetan ekonomi global berlaku tahun depan.

Pengarah dan Ketua Penyelidik/Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Hwang Capital), Alan Tan Chew Leong, berkata kemungkinan kemelesetan ekonomi global akan berlaku tahun depan adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan.

Ia, katanya mengambil petunjuk daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengunjurkan 70 peratus ekonomi global akan memperlahan tahun ini.

Beliau berkata, dunia akan mengalami kemelesetan ekonomi sekiranya ekonomi global berkembang kurang daripada tiga peratus dan melihat kepada senario semasa, seperti ancaman Donald Trump untuk mengenakan tarif pusingan kedua ke atas import China bernilai AS$300 bilion, pihaknya tidak menolak kemungkinan itu.

“Apabila Trump mengenakan tarif 25 peratus ke atas import China bernilai AS$250 pada pusingan pertama sebelum ini, kita melihat kesannya yang berkait. Bukan saja pertumbuhan ekonomi China menguncup, tetapi ia berkait ke ekonomi lain, termasuk Singapura.

“Bank pusat di negara maju juga menjangka (kemelesetan ekonomi), lalu kadar faedah direndahkan, bukan saja oleh Rizab Persekutuan (Fed) dan Bank Pusat Eropah (ECB), tetapi juga oleh bank pusat lain termasuk negara jiran seperti Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media berhubung tinjauan ekonomi Malaysia bagi separuh kedua 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

April lalu, IMF menurunkan unjuran pertumbuhan global 2019 sebanyak 0.2 mata peratusan kepada 3.3 peratus, tetapi kemudiannya mengunjurkannya meningkat sedikit kepada 3.6 peratus pada 2020.

Bank Dunia pula mengambil pendekatan lebih konservatif mengunjurkan ekonomi global berkembang pada kadar 2.6 peratus tahun ini dan 2.7 peratus tahun depan.

Affin Hwang Capital mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.5 peratus tahun ini berbanding 4.3 hingga 4.8 peratus (Bank Negara Malaysia) dan 4.9 peratus (Kementerian Kewangan).

Chew Leong berkata, defisit fiskal Malaysia diunjurkan berkisar antara 3.2 hingga 3.4 peratus pada 2020, sekiranya kerajaan memperkenalkan belanjawan 2020 yang lebih mesra perniagaan dan pelanggan.

Beliau berkata, unjuran itu dapat memberikan rangsangan jangka pendek kepada ekonomi negara dan mengurangkan kelembapan eksport di tengah-tengah perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang dilihat akan berlarutan.

“Belanjawan mungkin termasuk langkah-langkah yang menyokong penggunaan swasta dan strategi yang dapat mendorong pelaburan.

“Satu daripada cadangan saya ialah melihat kemungkinan potongan cukai pendapatan korporat,” katanya.

Berita Harian X