Jumaat, 19 Julai 2019 | 5:43pm
TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Chong Chieng Jen. - Foto Hazreen Mohamad
TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Chong Chieng Jen. - Foto Hazreen Mohamad

Jualan industri runcit Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR: Industri runcit Malaysia mencatat kadar pertumbuhan yang lebih baik daripada yang dijangkakan, sebanyak 3.8 peratus dalam jualan runcit bagi suku pertama 2019 berbanding tempoh yang sama tahun 2018, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP).

Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen, berkata pada suku pertama, sektor perkhidmatan menyumbang 57 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan subsektor borong dan runcit adalah momentum pertumbuhan utama bagi sektor perkhidmatan.

“Pada masa yang sama, jualan perdagangan borong dan runcit pada Mei 2019 menyumbang sejumlah RM110.8 bilion kepada KDNK negara dan kira-kira 1.8 juta tenaga kerja secara menyeluruh," katanya dalam ucapan utama pada Persidangan Runcit Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) 2019, di sini, hari ini.

Persidangan runcit itu berlangsung sempena Runcit dan Francais Antarabangsa Malaysia MRCA 2019, yang berlangsung dari 18 hingga 20 Julai.

Chieng Jen berkata, liberalisasi sektor peruncitan Malaysia pada 2012 terus menggalakkan lebih ramai peruncit asing untuk melabur dan membuka kedai runcit di pusat membeli-belah di Malaysia.

Beliau berkata, kini enam peruncit besar asing beroperasi di Malaysia iaitu Tesco, Giant, AEON, AEON Big, Isetan dan Lulu.

Bagaimanapun, Chieng Jen berkata subsektor pasar raya/pasar raya besar menyaksikan pertumbuhan negatif 2.3 peratus, namun lebih baik berbanding suku pertama 2018, apabila mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus.

“Saya melihat fenomena ini sebagai trend global yang tidak dapat dielakkan dengan sektor runcit di Jepun dan Thailand kini turut didominasi kedai serbaneka,” katanya.

MRCA yang ditubuhkan pada 1992, adalah persatuan untuk peruncit kedai runcit dan francais yang bermatlamat untuk meningkatkan persekitaran runcit dan francais di Malaysia dan di luar negara.

MRCA telah berkembang menjadi sebuah entiti yang berpengaruh, meliputi lebih 500 kedai runcit terkemuka dan francaisor, termasuk jenama terkenal seperti Poh Kong, Secret Recipe, Focus Point, Subway, Senheng, 7-Eleven, OSIM, Bonia, Naza Motor, Mydin, Bently Music dan banyak lagi.

-BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X